Saturday 11 October 2014

Teks ucapan Bajet 2015 - Mukadimah dan Strategi Pertama

Najib ketika membentangkan Bajet 2015 di Dewan Rakyat pada 10 Oktober 2014.
Tuan Yang Dipertua,

1. Dengan lafaz Bismillahhirahmanirrahim, Alhamdulillahi Rabbil A'iamin, Wa bihi Nastai'n. Diiring pula selawat serta salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Marilah bersama berdoa, dan yang beragama Islam, menadah kedua-dua tangan setingginya, pohon limpah keberkatan juga inayah-Nya, bagi saya membentang sebuah dokumen penting, yakni Bajet 2015 agar dapat didengar dan dihadami sebaiknya oleh Sidang Dewan dan Rakyat Malaysia seluruhnya.

2. Sebelum meneruskan pembentangan, saya bagi mewakili pihak Kerajaan mengucapkan takziah atas kembalinya ke-Rahmatullah Allahyarham Tun Hajah Suhaila Binti Tan Sri Mohammad Noah yang merupakan isteri kepada Perdana Menteri ketiga. Semoga rohnya diletakkan di kalangan para solihin dan solihat.

3. Saya turut ingin mengambil kesempatan pada petang Jumaat penuh barakah, penghulu segala hari, mengucapkan selamat kembali ke tanah air kepada YAB Timbalan Perdana Menteri berserta para hujjaj lain, yang telah selesai menunaikan fardu haji. Moga-moga beruntunglah di atas kurniaan Haji Akbar yang Mabrur. hendaknya.

Tuan Yang Dipertua,

4. Secara sedar ataupun tidak, sepanjang hampir 60 tahun merdeka, kita telah merencana pelbagai rancangan jangka pendek, sederhana dan panjang dalam usaha memakmurkan negara. Hakikatnya, pelaksanaan serta pembangunan ekonomi telah melalui segala macam strategi yang disusun kemas lagi sistematik. Jika tidak, mana mungkin Malaysia sampai pada tahap yang ada pada hari ini.

5. Cumanya, ramai yang tidak begitu sedar bahawa proses ini bukanlah satu kerja yang mudah, apatah lagi terjadi dengan semena-mena. Suka atau tidak suka, dalam tempoh yang bukan sekejap, ia menagih ikhtiar-ikhtiar yang cukup banyak, meliputi rencana-rencana yang menyeluruh, dengan segala jerih payah, kepahitan, terutamanya apabila wajarnya diambil ketetapan-ketetapan dan keputusan-keputusan yang tidak popular. Namun, semuanya itu, perlu diperbuat dan diperlakukan oleh pihak Kerajaan yang bertanggungjawab dan berakauntabiliti, demi mendahulukan kepentingan rakyat sejak dulu, kini dan selamanya.

Tuan Yang Dipertua,

6. Dari perspektif ekonomi, ketika mana meraih kemerdekaan 57 tahun lalu, kita telah membina negara ini berlandaskan pertanian. Kemudiannya, kita menuju negara perindustrian moden. Selanjutnya, kita melalui fasa negara berpendapatan sederhana tinggi. Sekarang ini pula, kita sedang melangkah ke arah ekonomi berasaskan perkhidmatan dan pengetahuan.

7. Bila disimpulkan, objektif, prinsip dan teras kepada 3 Rangka Rancangan Jangka Panjang, kesepuluh-sepuluh Rancangan Malaysia, Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pembangunan Nasional, Dasar Wawasan Negara dan sejak 2010 Dasar Transformasi Nasional, kesemuanya berkisar tentang pembasmian kemiskinan, peningkatan pendapatan, penyusunan semula masyarakat, sehingga tercapai matlamat sosio-ekonomi, mempelbagaikan ekonomi berteraskan komoditi, pembangunan modal insan, meningkatkan daya saing sektor awam dan swasta, rantaian nilai lebih tinggi, pembangunan secara inklusif dan transformasi Kerajaan, ekonomi, sosial serta politik.

8. Ternyata, bapa-bapa pimpinan terdahulu dengan bijaksana, telah menjalankan kewajiban masing-masing membentuk Malaysia menurut acuan tersendiri. Dimulai perjuangan oleh Tunku Abdul Rahman, diikuti oleh Tun Abdul Razak yang telah melaksanakan pembangunan dan menyusun semula struktur sosial masyarakat, Tun Hussein mengekalkan keamanan dan perpaduan, Tun Mahathir memodenkan negara, manakala Tun Abdullah pula menekankan aspek pembangunan modal insan.

Tuan Yang Dipertua,

9. Seterusnya, Kerajaan yang ada hari ini, terus komited memacu pertumbuhan negara dengan tasawwur yang lebih luas bagi meletakkan Malaysia di jajaran kukuh dari masa ke semasa.

10. Jelasnya, jika dicongak, pembentangan Bajet, petang ini, adalah yang keenam sejak saya mengambil alih pentadbiran, dan juga adalah Bajet negara kali yang ke-56. Sesungguhnya jua, Bajet 2015 ini, menjadi bingkisan pelengkap kepada 10 Rancangan Malaysia.

Strategi Pembangunan Nasional Malaysia

11. Selanjutnya, pada Mei 2015 nanti, bermulalah jendela Rancangan Malaysia kesebelas. Serentak itu, satu pendekatan baharu sedang digariskan yang dikenali sebagai Strategi Pembangunan Nasional Malaysia atau Malaysian National Development Strategy atau MyNDS.

12. MyNDS akan menjadi antara formula kepada perancangan dan penyediaan program serta projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-11. la akan menggunakan sumber yang terhad secara optimum, yakni menumpukan kepada projek dan program berimpak tinggi, kos yang rendah serta pelaksanaan secara cekap dan pantas. Ertinya, Bajet 2016 kelak, akan menjadi pemula kepada pelonjak akhir memacu separuh dekad Malaysia dalam menuju status, dengan izin High Income Advanced Economy menjelang 2020.

13. Merujuk kepada perjalanan negara-negara yang lain seperti Korea, Jerman, Jepun, Taiwan mahupun China, di mana kebanyakannya bermula dengan asas pertanian sebagai ekonomi mereka dan kini beralih kepada asas ekonomi yang mengutamakan pengetahuan, kemahiran, inovasi dan kepakaran yang tinggi.

14. Jika dapat diterangkan dengan bahasa yang mudah, perancangan dan instrumen ekonomi kepada sesebuah negara perlu disesuaikan mengikut musim dan peredaran masa serta tuntutan domestik dan global. Justeru, untuk terus kekal relevan Malaysia sewajibnya bergerak dengan ekonomi berasaskan pengetahuan, kemahiran tinggi, kepakaran, kreativiti dan inovasi.

Tuan Yang Dipertua,

15. Sememangnya, dari sudut ekonomi, sesebuah negara yang pesat membangun, tidak boleh lari daripada menjana kekayaan menerusi aktiviti capital economy. Namun demikian, dari sudut kesejahteraan rakyat, kita mendengar keluh kesah, sungutan dan rungutan orang ramai. Mereka bertanya melalui komen-komen blog, surat-surat yang diterima, mesyuarat, temubual, sesi dialog dan wacana semasa akan persoalan bahawa angka berjuta-juta, peruntukan berbilion-bilion dan pelbagai projek mega, apakah manfaatnya kepada rakyat terbanyak?

16. Bak kata orang kampung saya di Pekan, maaf bercakap, rasanya, perkara-perkara dokumen bajet begini, serta apa yang disebut seperti jauuuuuuh... dan tidak ada kena mengena dengan pakcik, makcik, kawan-kawan bukan sahaja di luar bandar malahan juga di bandar.

Tuan Yang Dipertua,

17. Sesungguhnya, inilah cabaran terbesar dalam mentadbir Negara seistimewa Malaysia dengan kerencaman masyarakat. Saya selaku Perdana Menteri sehingga petang semalam ketika bertemu para wartawan diajukan soalan apakah hal yang paling sukar untuk diputuskan? Saya menjawab... yakni bagaimana kita hendak mengimbangi antara polisi yang populist in nature as compared to those policies based on economic and financial imperatives.

18. Sejelasnya, Kerajaan yang ada hari ini berpegang teguh kepada prinsip bahawa usaha memantap tadbir urus fiskal seperti mengurangkan defisit fiskal adalah satu tanggungjawab moral generasi kita untuk generasi pewaris masa hadapan. Pokoknya, kita tidak mahu mewariskan Malaysia dengan kewangan Persekutuan yang terbeban dengan masalah hutang.

Tuan Yang Dipertua,

Capital Economy dan People Economy

19. Lantaran demikian, mengambil kira dan memahami denyut nadi rakyat serta realiti kehidupan, sebagai Ketua Kerajaan, saya mahukan falsafah tunjang kepada pembikinan bajet tahun ini mestilah menitikberatkan keseimbangan antara capital economy dan people economy.

20. Bila kita membicarakan istilah Capital Economy, ia merujuk kepada pengurusan dan dasar-dasar ekonomi yang berbentuk makro. Ini memudahkan sesebuah negara mengunjurkan sasaran-sasaran utamanya berbanding negara-negara lain. Antaranya, ia merujuk kepada pengurusan ekonomi yang berasaskan modal, pertumbuhan KDNK, pendapatan per kapita, pelaburan swasta, pasaran modal, keuntungan syarikat, penarafan ekonomi dan kredit, indeks Bursa dan nilai saham. Tuan Yang Dipertua, sesudah ini saya akan menyebutnya sebagai Capital Economy.

21. Manakala apabila kita mengupas dan menakrif istilah People Economy, ia merupakan ekonomi yang berorientasikan rakyat meliputi keutamaan-keutamaan dan kepentingan-kepentingan rakyat seperti kos sara hidup, pendapatan isi rumah, peluang pendidikan, pekerjaan dan perniagaan, kualiti hidup, perumahan, latihan, kemahiran, keusahawanan dan keselamatan, yakni aman dari jenayah. Ringkasnya, ia merupakan ekonomi yang berlandaskan pengalaman seharian rakyat. Sesudah ini saya akan menyebutnya sebagai Ekonomi Keperluan Rakyat atau EKR.

Tuan Yang Dipertua,

Ekonomi Keperluan Rakyat

22. Memang benar, dari sudut teori dan ilmiahnya, capital economy dan people economy tidak dapat dipisahkan dan wujud secara simbiosis antara satu dengan yang lain. Walau apapun, ingin saya tegaskan dalam bajet ini, Ekonomi Keperluan Rakyat menjadi paksi dan pegangan dalam mendahulukan kepentingan rakyat. Barulah nanti apabila kita mencapai status negara maju, nikmat kekayaan dan kemakmuran sebenar negara akan melimpah ke kaki-kaki halaman serta mengetuk pintu-pintu rumah setiap rakyat di negara ini, Insya-Allah.

Tuan Yang Dipertua,

PRESTASI DAN PROSPEK EKONOMI

23. Bermula 3 April 2009, setelah lebih 5 tahun, saya memegang pucuk pimpinan sebagai Perdana Menteri, diperkenalkan gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, berlandaskan Dasar Transformasi Nasional atau DTN. Ia merangkumkan Program Transformasi Kerajaan atau GTP, Program Transformasi Ekonomi atau ETP, Program Transformasi Politik atau PTP, Program Transformasi Komuniti atau CTP, Program Transformasi Sosial atau STP dan Program Transformasi Fiskal atau FTP dalam usaha kita mencapai matlamat negara ekonomi maju berpendapatan tinggi. ETP telah mensasarkan peningkatan Pendapatan Negara Kasar Per Kapita Malaysia kepada 15,000 dolar Amerika dan memperoleh 444 bilion dollar Amerika dalam pelaburan menjelang 2020.

24. Sejak 2009 juga, secara kumulatifnya, sebanyak 196 projek daripada 12 NKEA dan 6 SRI telah dilaksanakan. Jumlah pelaburan pula mencecah 219 bilion ringgit dan lebih 437,000 peluang pekerjaan bernilai tinggi telah diwujudkan.

25. Mutakhir ini, ekonomi negara telah tumbuh dengan positif dalam semua sektor dan mencatatkan KDNK sebanyak 6.3 peratus. Alhamdulillah, kita merafak syukur kepada Yang Maha Kuasa, kerana pencapaian ini, menempatkan kita sebagai yang paling tinggi di kalangan negara ASEAN dalam tempoh separuh pertama 2014.

Tuan Yang Dipertua,

26. Antara tahun-tahun 2009 hingga 2014, kita mampu berasa lega dan berbangga dengan prestasi-prestasi berikut. Indeks FBM KLCI telah meningkat sebanyak 114 peratus iaitu daripada 884.45 mata pada Januari 2009 kepada 1,892.65 mata pada Julai 2014. Pertumbuhan modal pasaran juga meningkat sebanyak 162 peratus daripada 667.87 bilion ringgit kepada 1,749.49 bilion ringgit dicatatkan pada 7 Oktober 2014.

27. Pendapatan Negara Kasar Per Kapita pula menunjukkan peningkatan sebanyak 50 peratus iaitu daripada 6,700 dolar Amerika kepada 10,060 dolar Amerika dalam tempoh 5 tahun ini. Insya-Allah, saya yakin pada tahun ini kita akan mencapai pertumbuhan ekonomi negara yang kukuh pada kadar 5.5 peratus hingga 6 peratus. Kadar defisit fiskal Negara juga semakin bertambah baik. Kita telah dapat menurunkan kadar defisit daripada 6.7 peratus pada 2009 kepada 3.9 peratus pada 2013 dan dijangka terus menurun kepada 3.5 peratus pada tahun ini.

28. Bagi 2015 pula, pertumbuhan ekonomi dijangka kekal kukuh pada kadar 5 hingga 6 peratus, manakala defisit fiskal dijangka berkurangan kepada 3 peratus.

Tuan Yang Dipertua,

29. Berhubung itu, sukalah saya memaklumkan di sini, kita juga telah memecah beberapa rekod pencapaian antaranya:

Pertama: Indeks Bursa Malaysia telah mencatat paras 1,892.65 mata pada Julai 2014, menjadikannya paras tertinggi dalam sejarah negara; dan

Kedua: Kemasukan pelabur asing sebanyak 38.7 bilion ringgit pada tahun 2013, juga merupakan catatan tertinggi actual realized investments yang pernah dicapai dalam sejarah Negara.

PERUNTUKAN BAJET 2015

Tuan Yang Dipertua,

30. Bajet 2015 memperuntukkan sejumlah 273.9 bilion ringgit iaitu peningkatan sebanyak 9.8 bilion ringgit berbanding peruntukan asal 2014. Daripadanya, 223.4 bilion ringgit bagi perbelanjaan mengurus dan 50.5 bilion ringgit sebagai perbelanjaan pembangunan.

31. Di bawah peruntukan mengurus, 65.6 bilion ringgit adalah untuk Emolumen, dan 38.1 .bilion ringgit untuk Perkhidmatan dan Bekalan. Agihan terbesar sebanyak 116.4 bilion ringgit adalah untuk Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap. Pembelian Aset pula diperuntukkan sebanyak 1.5 bilion ringgit dan 1.8 bilion ringgit untuk perbelanjaan lain.

32. Di bawah peruntukan pembangunan, sektor ekonomi menerima agihan tertinggi sebanyak 29.3 bilion ringgit, diikuti oleh sektor sosial 12.6 bilion ringgit merangkumi pendidikan dan latihan, kesihatan, perumahan serta kesejahteraan masyarakat. Sektor keselamatan pula diperuntukkan sebanyak 4.9 bilion ringgit. Selebihnya, diagihkan kepada sektor pentadbiran am iaitu sebanyak 1.7 bilion ringgit dan simpanan luar jangka sebanyak 2 bilion ringgit.

33. Pada tahun 2015, kutipan hasil Kerajaan Persekutuan diunjurkan sebanyak 235.2 bilion ringgit, yakni peningkatan sebanyak 10.2 bilion ringgit berbanding 2014.

Tuan Yang Dipertua,

34. Khususnya pada tahun 2015, dengan pelaksanaan GST, hasil kutipan dianggarkan berjumlah sebanyak 23.2 bilion ringgit. Walau bagaimanapun, sebagai Kerajaan yang prihatin, kita telah mengecualikan sebilangan barangan yang keseluruhannya dianggarkan 3.8 bilion ringgit.

35. Harus diketahui, bahawa dengan pelaksanaan GST ini, maka Cukai Jualan dan Perkhidmatan atau SST, dimansuhkan yang menyebabkan kehilangan hasil Kerajaan sebanyak 13.8 bilion ringgit. Ertinya, bila ditolak 13.8 bilion ringgit dan 3.8 bilion ringgit daripada kutipan 23.2 bilion ringgit itu, baki yang ada, berjumlah 5.6 bilion ringgit.

36. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 4.9 bilion ringgit disalurkan kembali untuk keperluan rakyat melalui pakej-pakej bantuan, contohnya tambahan BR1M. Akhirnya, hasil bersih kutipan GST hanyalah berbaki 690 juta ringgit.

Tuan Yang Dipertua,

BAJET 2015: EKONOMI KEPERLUAN RAKYAT

37. Bajet 2015 ini digubal berfokus kepada Ekonomi Keperluan Rakyat dengan menggariskan tujuh strategi utama, iaitu:

Strategi Pertama: Memperkukuh Pertumbuhan Ekonomi;
Strategi Kedua: Memantap Tadbir Urus Fiskal;
Strategi Ketiga: Mengupaya Modal lnsan dan Keusahawanan;
Strategi Keempat: Memperkasa Agenda Bumiputera;
Strategi Kelima: Memartabat Peranan Wanita;
Strategi Keenam: Membangun Program Transformasi Belia Negara; dan
Strategi Ketujuh: Mensejahtera Rakyat

Tuan Yang Dipertua,

STRATEGI PERTAMA: MEMPERKUKUH PERTUMBUHAN EKONOMI

38. Dalam hal ini, Kerajaan akan terus menyediakan ekosistem yang kondusif dan komprehensif bagi melonjak pelaburan domestik dan asing.

Tindakan Pertama: Merancakkan Sektor Perkhidmatan

39. Untuk makluman, pada 2013, sektor perkhidmatan menyumbang 55.2 peratus kepada KDNK. Bagi menepati sasaran 60 peratus menjelang tahun 2020, Kerajaan akan merancakkan sektor perkhidmatan dengan melaksanakan perkara-perkara berikut:

Pertama: Melaksana Blueprint Sektor Perkhidmatan;

Kedua: Menyediakan Skim Jaminan Sektor Perkhidmatan berjumlah 5 bilion ringgit kepada semua Perusahaan Kecil dan Sederhana yang terlibat dalam sektor perkhidmatan dengan had maksimum pembiayaan sebanyak 5 juta ringgit bersekali 70 peratus jaminan Kerajaan. la dijangka memberi manfaat kepada 4,000 syarikat PKS;

Ketiga: Mewujudkan Research Incentive Scheme for Entreprise dengan peruntukan 10 juta ringgit untuk menggalakkan syarikat-syarikat menubuhkan pusat penyelidikan dalam bidang berteknologi tinggi, leT dan industri berasaskan pengetahuan;

Keempat: Memperkenalkan semula Dana Perkhidmatan Eksport berjumlah 300 juta ringgit untuk menggalakkan PKS menjalankan kajian kemungkinan pasaran dan promosi eksport bagi menembusi pasaran baru; dan

Kelima: Mengukuhkan Skim Pembangunan Francais di bawah KPDNKK bersama Persatuan Francais Malaysia. Sebanyak 20 juta ringgit diperuntukkan untuk skim ini.

Tindakan ke-2: Memperkukuhkan Pasaran Kewangan Islam

40. Industri kewangan Islam Malaysia kini, mencakupi 25 peratus daripada industri perbankan dari segi aset. Di peringkat antarabangsa pula, Malaysia kekal sebagai pasaran sukuk terbesar di dunia, merangkumi 60 peratus daripada pasaran sukuk global.

41. Selanjutnya, Kerajaan akan memperkenalkan akaun pelaburan patuh syariah pada 2015, dikenali sebagai Investment Account Platform, atau iAP. la akan memberi peluang kepada pelabur dalam pembiayaan aktiviti keusahawanan dan pembangunan PKS yang berdaya maju. Pada masa yang sama, lAP akan menarik pelabur institusi dan individu termasuk High Net Worth Individuals dalam pasaran kewangan Islam. Dalam hal ini, dana permulaan sebanyak 150 juta ringgit akan disediakan.

42. Bagi menggalakkan pelaburan dalam iAP, Kerajaan mencadangkan pelabur individu diberi pengecualian cukai pendapatan ke atas keuntungan dari pelaburan yang layak selama 3 tahun berturut-turut.

43. Untuk merancakkan terbitan dan urus niaga pasaran sukuk dan bon tempatan pula, Kerajaan telah memperkenalkan produk Bon dan Sukuk Dagangan Bursa atau ETBS pada Januari 2013. Makanya, Kerajaan mencadangkan supaya Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Terbitan Pelaburan Kerajaan turut disenaraikan dan diurus niaga dalam ETBS.

44. Selain itu, perbelanjaan menerbitkan sukuk telah diberi potongan cukai mulai tahun taksiran 2003 hingga tahun taksiran 2015. Selaras dengan ini, dicadangkan potongan cukai bagi perbelanjaan menerbitkan sukuk berasaskan prinsip Ijarah dan Wakalah dilanjutkan selama 3 tahun lagi sehingga tahun taksiran 2018.

Tuan Yang Dipertua,

Tindakan ke-3: Menggalakkan Industri Perkapalan Tempatan

45. Akta Perkapalan Saudagar 2011 memperuntukkan keperluan mandatori insurans atau sekuriti kewangan untuk perlindungan liabiliti pihak ketiga bagi kapal yang beroperasi di Malaysia. Buat masa ini, kebanyakan pemilik kapal muatan besar di Malaysia mempunyai perlindungan liabiliti pihak ketiga melalui Protection & Indemnity, di luar negara.

46. Justeru, bagi membantu pemilik kapal muatan kasar 300 tan ke bawah, Kerajaan akan menubuhkan Kelab P&I Malaysia, di bawah Exim Bank, pada kadar premium yang berpatutan.

Tindakan ke-4: Memastikan pertumbuhan wilayah yang seimbang dan inklusif, dengan terus menggalakkan pelaburan di kawasan-kawasan yang kurang membangun.

47. Dalam konteks ini, Kerajaan akan menambahbaik pakej insentif khas yang disediakan di bawah Koridor-koridor Ekonomi merangkumi lebih banyak kawasan yang kurang maju.

Tindakan ke-5: Insentif Untuk Pengurusan Kawasan Perindustrian

48. Kawasan-kawasan perindustrian yang mempunyai kemudahan awam atau infrastruktur yang diselenggara secara sistematik merupakan antara faktor utama yang menyokong pembangunan industri. Dalam hal ini, insentif dengan 100 peratus pengecualian cukai pendapatan bagi tempoh lima tahun akan disediakan untuk menggalakkan pihak swasta menyelenggara dan menambah baik kawasan perindustrian di kawasan kurang membangun. Manakala insentif dengan 70 peratus pengecualian cukai pendapatan bagi tempoh lima tahun akan disediakan kepada pihak swasta yang mengurus kawasan perindustrian di kawasan yang lain.

Tindakan ke-6: Elaun Modal Bagi Peningkatan Proses Automasi oleh Industri Berintensif Buruh

49. Kerajaan akan menyediakan insentif elaun modal perbelanjaan automasi untuk menggalakkan proses automasi sektor perkilangan mengikut kategori berikut:

• Kategori Pertama, iaitu untuk industri yang mempunyai kebergantungan buruh yang tinggi seperti industri produk getah, plastik, kayu, perabot dan tekstil. Insentif yang ditawarkan adalah elaun modal perbelanjaan automasi sebanyak 200 peratus ke atas 4 juta ringgit perbelanjaan pertama. Insentif ini adalah bagi tempoh 2015 hingga 2017; dan
• Kategori Kedua iaitu untuk industri-industri yang lain. Insentif yang ditawarkan adalah elaun modal perbelanjaan automasi sebanyak 200 peratus ke atas 2 juta ringgit perbelanjaan modal pertama. Insentif ini adalah bagi tempoh 2015 hingga 2020.

Tindakan ke-7: Pelaburan Berkualiti Tinggi

50. Dalam menggalakkan pelaburan berkualiti tinggi dan lebih tertumpu, pakej galakan lebih istimewa akan ditawarkan untuk projek-projek pelaburan yang berasaskan teknologi, inovasi dan pengetahuan, melibatkan pekerja berkelayakan tinggi dan berpengetahuan, dengan gaji yang tinggi.

Tuan Yang Dipertua,

Tindakan ke-8: Merancak Pelaburan Awam dan Swasta

51. Bagi tahun 2015, beberapa projek infrastruktur akan dilaksanakan:

Pertama: Membina Lebuh Raya Sungai Besi -Ulu Klang sepanjang 59 kilometer dengan kos pembinaan berjumlah 5.3 bilion ringgit;
Kedua: Membina Lebuh Raya Pantai Barat dari Taiping ke Banting sepanjang 276 kilometer dengan kos pembinaan berjumlah 5 bilion ringgit;
Ketiga: Membina Lebuh Raya Damansara -Shah Alam sepanjang 47 kilometer dengan kos pembinaan 4.2 bilion ringgit;
Keempat: Membina Lebuh Raya Lingkaran Luar Kuala Lumpur -Hubungan Timur sepanjang 36 kilometer dengan kos pembinaan 1.6 bilion ringgit;
Kelima: Menaik taraf landasan kereta api sektor Pantai Timur melibatkan jajaran Gemas-Mentakab, Jerantut-Sungai Yu dan Gua Musang-Tumpat dengan peruntukan 150 juta ringgit;
Keenam: Pembinaan MRT Jajaran Kedua sepanjang 56 kilometer dari Selayang ke Putrajaya, melibatkan anggaran 23 bilion ringgit; dan
Ketujuh: Manakala, Projek LRT3, yang bakal menghubungkan Bandar Utama sehingga Shah Alam dan Klang, dianggarkan 9 bilion ringgit akan dilaksanakan.

52. Projek Pengerang Integrated Petroleum Complex dengan nilai pelaburan 69 bilion ringgit pula yang dijangka dapat mewujudkan lebih 10,000 peluang pekerjaan.

53. Di samping itu, bagi membangunkan industri pembuatan kenderaan elektrik, dana pinjaman Sustainable Mobility Fund berjumlah 70 juta ringgit disediakan bawah SME Bank. Sebagai permulaan, 50 bas elektrik akan diperkenalkan.

Tuan Yang Dipertua,

Tindakan ke-9: Menggalakkan Penubuhan Hab Prinsipal

54. Untuk ini, Kerajaan akan terus berusaha memperbanyakkan lagi pusat operasi global syarikat multinasional di Malaysia. Sejajar dengan itu, satu insentif Hab Prinsipal yang berbentuk customised incentives akan diperkenalkan mulai awal tahun depan.

Tindakan ke-10: Merancakkan Industri Kreatif

55. Untuk memajukan industri kreatif seperti animasi, perfileman, seni reka, dan warisan budaya, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak 200 juta ringgit kepada MyCreative Ventures pada tahun 2012. Lanjutan daripada ini, usaha ini diteruskan melalui Dana Industri Kandungan Digital di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia sebanyak 100 juta ringgit.

Tindakan ke-11: Meningkatkan Keupayaan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi

56. High Speed Broad Band, di kawasan ekonomi berimpak tinggi, akan diteruskan meliputi ibu negeri dan bandar-bandar terpilih di seluruh negara. Sebanyak 2.7 bilion ringgit akan dibelanjakan dalam tempoh tiga tahun melibatkan pembinaan seribu menara pencawang telekomunikasi baru dan pembinaan kabel dasar laut.

Tindakan ke-12: Merancak Industri Pelancongan

57. Sempena sambutan 'Malaysia Year of Festivals 2015', Kerajaan mensasarkan kedatangan pelancong asing seramai 29.4 juta orang dengan jangkaan pendapatan sebanyak 89 bilion ringgit. Untuk tujuan ini, sebanyak 316 juta ringgit diperuntukkan bagi pelbagai program di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.

Tuan Yang Dipertua,

Tindakan ke-13: Membangunkan Perusahaan Kecil dan Sederhana

58. Kini, sumbangan PKS kepada KDNK adalah sebanyak 33 peratus dan kita mensasarkan peningkatan kepada 41 peratus menjelang 2020.

59. Maka, bagi merancakkan penglibatan PKS dalam aktiviti ekonomi, Kerajaan mencadangkan pelaksanaan SME Investment Partner, di mana PKS akan diberi bantuan pembiayaan dalam bentuk pinjaman, ekuiti atau kedua-duanya, terutamanya di peringkat stan-up. Dana permulaan berjumlah 375 juta ringgit akan disediakan untuk tempoh lima tahun, di mana 250 juta ringgit adalah daripada SME Bank dan 125 juta ringgit lagi daripada pelabur swasta. Di bawah SME Corp pula, 10 juta ringgit akan diperuntukkan untuk Business Accelerator Programme.

60. Sebagai meningkatkan penggunaan teknologi baru, automasi dan inovasi dalam pembangunan PKS pula, sebanyak 80 juta ringgit diperuntukkan untuk Skim Pinjaman Mudah Automasi dan Pemodenan PKS di bawah Malaysian Industrial Development Finance Berhad.

Tuan Yang Dipertua,

61. Di sudut lain, TEKUN juga telah menyalurkan pinjaman berjumlah 3.1 bilion ringgit kepada hampir 300 ribu orang peminjam dengan had pembiayaan di antara 1,000 hingga 100 ribu ringgit. Pada tahun 2015, TEKUN akan menyediakan tambahan dana pembiayaan sebanyak 500 juta ringgit, diagihkan seperti berikut:

Pertama: 350 juta ringgit diperuntukkan kepada usahawan Bumiputera yakni hampir 33 ribu orang peminjam baru;
Kedua: 50 juta ringgit dikhususkan kepada Skim Pembiayaan Usahawan India, dijangka memanfaatkan 5,000 peminjam kaum India;
Ketiga: 50 juta ringgit diperuntukkan kepada Program Pembangunan Usahawan Wanita Muda Profesional yakni pembiayaan kepada 5,000 peminjam wanita profesional; dan
Keempat: 50 juta ringgit diperuntukkan kepada Program Pembangunan Usahawan' Bekas Tentera, yang menawarkan pembiayaan kepada 5,000 orang bekas tentera.

62. Seiring itu, bagi membantu PKS kaum Cina, Kerajaan akan menyediakan pinjaman mudah sebanyak 50 juta ringgit, manakala bagi penjaja dan peniaga kecil sebanyak 30 juta ringgit.

Tuan Yang Dipertua,

Tindakan ke-14: Pembangunan Inovasi dan Pengkomersilan

63. Ketika ini, nisbah R&D kepada KDNK adalah rendah jika dibanding dengan negara maju seperti Jepun dan Korea Selatan, Justeru, Kerajaan memperuntukkan 1,3 bilion ringgit kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bagi melaksanakan program berkaitan, antaranya:

Pertama: Mensasarkan 360 produk inovasi berimpak tinggi dikomersilkan dalam tempoh 5 tahun akan datang;
Kedua: Menyediakan dana penyelidikan sebanyak 290 juta ringgit bagi menjalankan pelbagai aktiviti R&D&C yang berimpak tinggi;
Ketiga: Menjenamakan semula SIRIM. Untuk itu, SME Technology Penetration, Upgrading Program dan Technology Auditing akan dilaksanakan;
Keempat: Memperkenalkan inisiatif baru iaitu Public Private Research Network yang diterajui Kementerian Pendidikan dengan kerjasama MTDC dengan peruntukan sebanyak 50 juta ringgit; dan
Kelima: Memperkukuhkan Program Technology Commercialization Platform oleh Agensi Inovasi Malaysia dengan tambahan 50 juta ringgit.


No comments:

Post a Comment