Tuesday 28 October 2014

Pesona Zoella, digelar Ikon Fesyen YouTube

Zoella

JIKA sebelum ini, Zass tampilkan mereka yang begitu dikenali menerusi Vlog, menyanyikan semula lagu artis terkenal dan juga beberapa video viral. Kali ini, Zass ketengahkan pula individu yang begitu dikenali sebagai vlogger fesyen dan kecantikan, Zoella.

Sedikit latar belakang mengenai pemilik nama sebenar Zoe Elizabeth Sugg ini, gadis berusia 24 tahun ini lebih dikenali dengan nama Zoella di kalangan peminatnya mula aktif pada tahun 2009.

Sugg juga merupakan kakak kepada vlogger terkenal, Joe Sugg yang juga lebih dikenali di YouTube sebagai ThatcherJoe. Mereka dibesarkan di Lacock, Wiltshire dan kini tinggal di Brighton.

Populariti yang kini dikecapi oleh Sugg bukan lagi picisan kerana setakat Oktober 2014, Sugg sudah berjaya menarik perhatian lebih 6.2 juta pengikut di laman YouTube dan video yang dimuat naiknya sudah ditonton hampir 300 juta.

Ia sekali gus meletakkan Sugg sebagai individu ke-68 yang paling di cari di Internet.

"Saya mula dengan blog pada tahun 2009 kerana saya amat meminati dunia fesyen dan kecantikan. Bagi saya blog adalah tempat kecil yang sesuai untuk seseorang itu tampil lebih kreatif dan boleh bercakap perkara yang disukainya.

"Malah saya sering menjadikan panacea81 dan Lollipop26, sebagai sumber inspirasi saya untuk menghasilkan blog yang baik. Dari blog saya kemudiannya beralih kepada vlog dan ke YouTube. Tapi saya tak sangka kerana pengikut saya tetap bertambah," katanya.

Sugg berkata, dia juga tidak pernah berangan untuk menjadi terkenal apatah lagi berdiri pada tahap kini.

"Saya tidak pernah meletakkan diri saya sebagai selebriti dan sering merasakan saya hanyalah gadis biasa. Malah saya juga sering tampil di depan kamera tanpa solekan dan ada kalanya saya turut berkongsi rakaman video saya sedang tidur.

"Saya juga tidak pernah terfikir bahawa pengikut saya merasakan saya seorang selebriti, sebaliknya mereka yang sering mengikut video saya adalah sebahagian rakan saya," katanya yang pernah menerima e-mel memintanya merakamkan video dirinya dalam keadaan mengghairahkan.

Selain saluran Zoella, Sugg juga turut mempunyai saluran kedua di YouTube dengan nama MoreZoella. Di sana, peminat berpeluang melihat aktiviti yang dilakukan Zoella setiap hari. Manakala di Twitter pula, dia turut memiliki 2 juta pengikut dan 3 juta pengikut di laman Instagram.

Bukan itu sahaja, Sugg juga turut membuat banyak kolaborasi dengan YouTuber lain seperti Louise Pentland, Tanya Burr, Alfie Deyes, Tyler Oakley, Troye Sivan, Grace Helbig, dan ramai lagi.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment