Tuesday 28 October 2014

Jurutol maut ke tempat kerja

SEREMBAN - Seorang jurutol Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah lori di KM243.6 arah utara dari Pedas Linggi ke Senawang di sini, pagi tadi.

Jurucakap polis berkata dalam kejadian pada 6.15 pagi itu, Mohd Khaiyrul Izwan Mohd Zaini, 22, yang bertugas di Plaza Tol Senawang sedang dalam perjalanan dari rumahnya di Desa Permai Kundur, Rembau menuju ke tempat kerja.

Mangsa yang menunggang motosikal Honda EX5 dipercayai gagal mengelak daripada melanggar sebuah lori membawa muatan tanah liat yang baru berhenti di lorong kecemasan kerana mengalami masalah brek.

Mohd Khaiyrul Izwan yang mengalami kecederaan teruk di kepala serta patah kaki, maut di tempat kejadian.

Mayat dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar untuk bedah siasat. Sementara itu, Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri Sembilan, Superintendan Md Dali Wahid ketika dihubungi mengesahkan kejadian. 

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment