Tuesday 28 October 2014

Pemandu tertidur, van keselamatan bawa wang dua juta ringgit disamun



Polis menahan empat pekerja syarikat keselamatan yang mengendalikan van membawa wang tunai tersebut.

SERI KEMBANGAN: Sebuah van syarikat keselamatan yang dipercayai sedang membawa wang tunai hampir 2 juta ringgit disamun di Taman Ekuinin, Seri Kembangan malam tadi.

Susulan kejadian itu, polis menahan empat pekerja syarikat keselamatan yang mengendalikan van membawa wang tunai tersebut.

Kesemua mereka berusia 20 hingga 40 ditahan sebaik sahaja membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

Menurut Ketua Polis Daerah Serdang ACP Razimi Ahmad, ketika kejadian keempat-empat pekerja keselamatan terbabit baru selesai mengutip wang tunai di beberapa buah bank-bank sekitar Taman Ekuinin.

Kemudiannya tiga dari mereka singgah untuk makan di sebuah restoran di kawasan terbabit jam 9 malam. Pemandu dikatakan tidur di dalam van terbabit.

Bagaimanapun sekumpulan lelaki bertindak merampas van keselamatan itu dan membawa lari van terbabit sejauh kira-kira 2 kilometer dari lokasi asal.

Suspek terbabit turut mengikat mangsa dan melarikan wang tunai.

Hasil soal siasat ke atas pemandu, mangsa dikatakan berjaya membuka ikatannya sendiri dan melaporkan kepada pihak polis serta mendakwa di samun oleh dua lelaki.

Pihak polis memaklumkan akan membuat siasatan menyeluruh termasuk meneliti kemungkinan rompakan melibatkan orang dalam.

Sehubungan dengan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar segera memaklumkan kepada polis di balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Kes di siasat mengikut seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

- Sumber: Astro Awani

No comments:

Post a Comment