Tuesday 28 October 2014

Pelajar rempuh masuk Universiti Malaya untuk hadiri pidato

Seorang mahasiswa memberi ucapan sambil berdiri di atas kereta di luar kampus University Malaya malam tadi.

KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya 1,000 mahasiswa dan mahasiswi telah rempuh masuk pintu pagar Universiti Malaya (UM) di sini untuk menghadiri acara pidato Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada malam ini.

Kumpulan pelajar itu, termasuk Professor Undang-undang UM Prof Azmi Sharom, merempuh pintu pagar universiti apabila pihak keselamatan UM menutup pintu itu untuk menghalang para pelajar keluar atau masuk ke kawasan kampus.

Sebaik dirempuh dan dibuka, kesemua pelajar memasuki kampus dan berarak ke arah Dewan Tunku Canselor, di mana pidato anjuran Persatuan Mahasiswa UM (PMUM) pada mulanya dijadualkan untuk berlangsung.

Prof Azmi Sharom antara mereka yang kelihatan merempuh masuk kawasan kampus Universiti Malaya. - Astro AWANI

Mereka mengiring Anwar yang dibawa masuk sambil berdiri di atas sebuah van bersama isterinya Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya Nurul Izzah, untuk menghadiri acara pidato bertajuk "40 Tahun: Dari Universiti Malaya ke Penjara”.

Anwar yang mengenakan kemeja hitam, berucap di dalam keadaan yang diselubungi kegelapan kerana pihak UM telah menutup kampus itu sejak pukul 4 petang lagi, atas alasan gangguan elektrik serta kerosakan kepada pencawang yang boleh mendedahkan bahaya kepada penghuni Universiti tersebut.

Semasa berucap, Anwar berkata beliau masih menaruh harapan kepada sistem perundangan negara ini.

"Saya masih berharap hakim (Mahkamah Persekutuan) membuat keputusan berlandaskan undang-undang. Jika saya ditakdirkan untuk disabitkan atas sebab politik, saya kena tenang.

"Saya sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya keputusan tidak menyebelahi saya. Saya sudah beritahu Azizah dan Izzah serta adik-adiknya supaya bersabar dan perlu ada sedikit pengorbanan.

"Saya masih letakkan harapan pada mahkamah tertinggi dalam undang-undang dan saya wajib dibebaskan," katanya dikuti sorakan gemuruh daripada peserta program itu.

Anwar kelihatan dibawa berarak di dalam sebuah van dari pintu UM ke hadapan Dewan Tunku Canselor

Anwar memberitahu para peserta, beliau harus diingati sebagai seorang yang tabah menghadapi risiko.

Mahkamah Persekutuan akan bersidang dua hari mulai Selasa, untuk mendengar rayuan daripada peguam Anwar berhubung hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan Mahkamah Rayuan selepas mendapati ahli Parlimen Permatang Pauh itu bersalah dalam kes Liwat II.

Anwar pada 7 Mac lalu didapati bersalah terhadap pertuduhan meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan di sebuah unit kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Tiga panel hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk Balia Yusof Wahi membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari 2012 yang melepaskan Anwar daripada pertuduhan itu.‎

- Sumber: Astro Awani

No comments:

Post a Comment