Thursday 9 October 2014

Letupan bom di Bukit Bintang: Kongsi gelap bergaduh atau serangan kumpulan radikal?

Letupan bom di Bukit Bintang: Kongsi gelap bergaduh atau serangan kumpulan radikal? - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Persoalan 'angkara siapa' dilihat paling penting dan harus disiasat pihak berkenaan dari insiden pengeboman di Bukit Bintang.

Pakar Kriminologi Universiti Sains Malaysia (USM), Professor Madya Dr. P. Sundramoorthy berkata, siasatan harus memberi jawapan adakah ia dilakukan kumpulan sindiket, aktiviti jenayah kumpulan tidak berkait sindiket atau dilakukan kumpulan radikal.

"Kami risau apa berlaku di Bukit Bintang. Polis diharap dapat siasat dan kenal pasti orang yang terlibat atau kumpulan terlibat dalam insiden ini," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Sundramoorthy mengulas insiden bom yang mengakibatkan seramai 14 orang cedera di sebuah bangunan di kawasan Bukit Bintang, Kuala Lumpur kira-kira jam 4.00 pagi Khamis.

Dalam pada itu katanya, pelaksanaan Ops Cantas dilihat memberi banyak kebaikan selain meminta polis meneruskannya demi memastikan imej negara tidak tercalar.

"Kita mahu polis lihat situasi ini, apakah ia sebab isu peribadi atau isu pertandingan sindiket dengan sindiket lain atau radikal. Polis kena kenal pasti dahulu, kemudian fahami mengapa kumpulan ini memilih tempat tersebut," ujarnya.

Tegasnya, seandainya ia dilakukan kumpulan radikal, kesan negatif pasti dihadapi negara kerana lokasi Bukit Bintang itu sendiri sebagai kawasan tumpuan pelancong.

Dalam pada itu, Ketua Polis Kuala LumpurDatuk Tajuddin Md Isa menafikan kejadian letupan bom itu mempunyai kaitan dengan militan Negara Islam (IS), sebaliknya kejadian itu berpunca daripada aktiviti kumpulan gengster.

Tajuddin turut memberitahu, ia dipercayai berpunca perebutan kawasan perniagaan antara kumpulan kongsi gelap.

Seorang joki kereta turut maut dan 12 lagi cedera termasuk pelancong asing dalam serangan bom 'molotov cocktail' itu.

Ia turut dipercayai kejadian serangan bom pertama di pusat hiburan di negara ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, ACP Khairi Ahrasa berkata, sebanyak dua bom dilemparkan dari aras dua tempat letak kereta bangunan berdekatan namun hanya satu yang meletup.

Bom kedua tersebut berjaya diletupkan Unit Pemusnah Bom Polis pada jam 12.30 tengah hari.

Mengulas isu sama, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kementeriannya menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat insiden letupan di Bukit Bintang.

- Sumber: Astro Awani

No comments:

Post a Comment