TUMPAT - Polis sedang memburu seorang lelaki warga Pakistan berhubung kematian seorang kontraktor balak di sebuah rumah di Kampung Bukit Jering, Jeli, Isnin lepas.


Dalam kejadian kira-kira 3.30 petang itu, Ong Cheng Chin, 65, dari Kuala Lipis, Pahang ditemui orang ramai dalam keadaan tangan dan kaki diikat serta mulutnya disumbat kain di rumah berkenaan.  
   
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan berkata, pihaknya sedang mengesan lelaki dikenali sebagai Abdullah @ Zahid, 34, bagi membantu siasatan.
   
"Kita percaya dia masih berada di dalam negara dan gerakan memburu sedang dijalankan," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Pangkalan Gerakan Polis Marin Pengkalan Kubor di sini hari ini.
   
Mazlan berkata bedah siasat mendapati mangsa mati kerana gagal bernafas.

"Kami percaya mangsa telah dibunuh tiga hari sebelum mayatnya dijumpai oleh orang ramai," katanya sambil menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.
   
Dalam perkembangan lain, Mazlan berkata kes penipuan Internet, iaitu melalui laman sesawang mudah.my mencatat peningkatan.
   
Beliau berkata dalam tempoh Jan hingga Ogos tahun ini, terdapat 89 kes dilapor berbanding 44 pada tahun sebelumnya.
   
"Hampir tiap-tiap bulan ada kes ini, kerugian yang dicatat juga bertambah dari RM61,029 bagi tahun lepas kepada RM130,387 pada tahun ini.
   
"Mangsa mudah terpedaya dengan barangan yang diiklan melalui laman sesawang, sindiket ini menipu orang ramai dengan menyuruh pembeli memasukkan deposit terlebih dahulu sebaliknya barang yang dibeli pelanggan tidak dihantar," katanya.

Selain mudah.my, kumpulan terbabit menggunakan laman sosial Facebook lelong.my dan hahasale.com untuk menipu orang ramai. 


--Sumber:  Bernama