Wednesday 17 September 2014

Shila Amzah bidas media lagi?


RIUH seketika dunia hiburan tempatan apabila salah seorang artis top Malaysia, Shila Amzah berkongsi sebuah status yang dikatakan membidas media berbahasa Melayu kerana tidak membuat liputan ke atas konsertnya yang berlangsung di Jalan Klang Lama, Sabtu lalu.

Lebih menarik, status tersebut didakwa dimuat naik oleh pemilik laman Instagram @shilaamzah_photography yang mana dikendalikan oleh ‘fan club’nya dan kemudiannya dimuat naik semula ke laman Instagram milik Shila sendiri.

Terbaharu dari laman tersebut, pemilik laman @shilaamzah_photography sekali lagi menimbulkan pergolakan antara media dan Shila apabila dia memuat naik gambar terbaru yang menunjukkan bukti dan senarai antara media yang hadir membuat liputan pada malam konsert terbabit.

“Ramai (media) yang kata tiada undangan dari pihak Shila. Jadi di sini, kami berjaya dapatkan tandatangan media yang hadir pada malam itu. Jadi, anda nilailah sendiri,” katanya seperti yang dipetik melalui laman Instagram tersebut ke laman Instatempelak dan didakwa telah mencaci penyanyi kontroversi itu.

Paparan tersebut kemudiannya turut dikongsikan melalui dua akaun Twitter @Shilaamzah dan @realSHILALAS yang masing-masingnya diikuti oleh 868,000 dan 17,000 pengikut laman Twitter.

Memetik kapsyen gambar terdahulu yang dipapar semalam di laman Instagram @shilaamzah_photography, yang kemudiannya dimuat naik semula ke laman IG milik Shila sendiri, dia mendakwa media Melayu lebih berminat untuk menulis berita berkaitan gosip berbanding media berbahasa Cina yang memberikan liputan penuh mengenai konsert terbabit.

Lebih hangat lagi, pemilik laman Instagram itu turut mendakwa penyanyi kontroversi itu dihina dan dicaci oleh media.

“@shilaamzah_photography hanya sebuah ‘fan club’. Dan kami sebagai peminat menantikan artikel atau cerita dari media Melayu sejak konsert ini diadakan di Malaysia dan tentunya ramai orang Melayu nak tahu mengenai konsert Shila.

“..Tapi apa yang kami dapat ialah caci maki dan penghinaan dari pihak media,” katanya menerusi kapsyen yang dimuat naik bersama gambar tersebut.

-- Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment