SEKIRANYA anda pernah menonton filem Hunger Games lakonan hebat Jennifer Lawrence, pastinya anda akan membuat persamaan terhadap filem ini.
Meskipun tanpa pelakon ternama, The Maze Runner tetap memiliki kekuatan dari segi idea dan konsep cerita.
Mendengar judul serta melihat posternya sahaja sudah memberi bayangan yang jelas terhadap plot utama penceritaan.
'Maze' itu sendiri membawa maksud sesuatu yang membingungkan, rangkaian sambungan atau jalan yang mengelirukan dan mudah tersesat.
Merupakan filem adaptasi daripada novel fantasi popular 2009, hasil tulisan James Dashner, filem arahan Wes Ball ini turut mendapat sentuhan James Dashner dan Grant Pierce Myers sebagai penulis skrip.
The Maze Runner mengisahkan seorang remaja lelaki, Thomas, yang bangun dari sebuah lif dan tidak mengingati apa pun selain namanya sendiri. Di dunia terasing itu, terdapat lebih 60 remaja sepertinya menjalani kehidupan serba kekurangan dengan melakukan kerja-kerja pertanian demi kelangsungan hidup.
Lingkungan penempatan mereka juga sangat terhad kerana ia dikelilingi mez (maze) yang penuh misteri. Setiap hari, Thomas cuba menyesuaikan diri dan merungkai misteri menerusi angka 'W.I.C.K.E.D.' yang sering menjelma dalam mimpinya. Malah kemunculan seorang gadis, Teresa, membawanya lebih klu untuk keluar dari dunia asing itu.
Dibantu beberapa gladers, Thomas berusaha merungkai persoalan meskipun terpaksa melanggar peraturan yang sekian lama dipegang 'kelompok remaja' di situ. Namun semakin dia melanggar peraturan, semakin banyak misteri muncul dan meragut nyawa di kalangan mereka.
Mengamati konsep serta idea keseluruhan cerita, The Maze Runner masih berpegang pada konsep tradisi Amerika, di mana watak utamanya seorang yang pintar dan berani, namun suka melanggar peraturan sehingga muncul sebagai hero dan menyelamatkan mereka yang tertindas.
Bagaimanapun, naratif penceritaan serta pembinaan plot demi plot itu akan menjadikan ia filem yang berbeza. Menepati genre thriller, sains fiksyen dan misteri, The Maze Runner digarap dengan cukup rencah dan pelbagai rasa.
Di awal penceritaan lagi, unsur suspens dan misteri itu sudah dirasai sehingga membuatkan penonton tertanya-tanya apakah yang akan berlaku seterusnya.
Malah, babak demi babak sarat dengan suspens dan aksi sehingga sesiapa saja yang menonton tidak akan berganjak dari tempat duduk. Setiap misteri dan persoalan yang dibawa dari awal cerita akan terus membelenggu penonton hingga ke akhir cerita.
Lari daripada kebiasaan filem Hollywood, The Maze Runner tidak memfokuskan kisah cinta hero dan heroin meskipun watak heroin tetap diwujudkan di pertengahan cerita.
Di sebalik karakter yang terbina, pengarah lebih membangkitkan sifat kemanusiaan menerusi watak Thomas.
Dalam dunia terasing, manusia sanggup melakukan apa saja demi meneruskan kelangsungan hidup. Sebagai 'gladers' atau wira, Thomas memperlihatkan sikap seorang ketua yang sanggup berkorban, tinggi kepercayaan, serta mementingkan hubungan persahabatan serta sesama manusia.
Diadaptasi daripada novel yang sudah mempunyai pengikut tersendiri, ternyata percaturan produksi tersohor, 20th Century Fox, memilih pengarah baru, Wes Ball, bukanlah satu perkara yang sia-sia.
Meskipun mendapat kritikan hebat di Hollywood, namun bagi penulis, The Maze Runner tetap sebuah karya yang segar dan masih menepati selera peminat filem genre seumpama ini.
Bukan pelakon popular
Kekuatan The Maze Runner, bukanlah terletak pada pelakonnya. Dibintangi pelakon muda seperti Dylan O’Brien, Thomas Sangster, Kaya Scodelario, Will Poulter, Aml Ameen, Ki Hong Lee dan Blake Cooper, filem ini tetap mampu berdiri dengan idea dan konsepnya tersendiri.
Sebagai teraju utama, Dylan O’Brien (Thomas) tidaklah sepopular Daniel Radcliffe atau Jaden Smith, namun lakonannya menerusi filem ini tidak harus dipandang enteng. Jika diukur dari segi kriteria sebagai hero yang selalunya dipandang kacak dan bertubuh sasa, O'Brien mungkin bukan orangnya.
Namun jika dilihat pada konsep cerita dan watak perwatakan, O'Brien merupakan pilihan tepat. O'Brien berjaya menyerlahkan sisi lakonannya sebagai Thomas ~ remaja biasa yang penuh sifat ingin tahu.
Bagaimanapun, kemunculan satu-satunya watak wanita, Teresa, lakonan Kaya Scodelario dilihat kurang memberi impak dalam filem ini. Namun itu tidak bermakna Scodelario gagal mempamerkan bakat yang baik.
Penulis yakin wataknya akan dikembangkan serta dimantapkan lagi menerusi sekuel kedua filem ini. Sekuel? Anda hanya akan tahu selepas menonton filem ini dipanggung!
-- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment