Saturday 13 September 2014

Maut ketika pulang bercuti

Keadaan dua beradik yang maut selepas terbabit kemalangan di KM399 LPT2 (Bukit Besi-Ajil), petang kelmarin.
Keadaan dua beradik yang maut selepas terbabit kemalangan di KM399 LPT2 (Bukit Besi-Ajil), petang kelmarin.

KUALA BERANG - Hasrat dua beradik untuk pulang ke rumah bagi menghabiskan cuti hujung minggu tidak kesampaian apabila mereka maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 399, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (Bukit Besi-Ajil), petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.10 petang itu, dua beradik yang berasal dari Kampung Putera Jaya, Permaisuri, Setiu, Mohamad Syafiq Hakimi Yaakob, 18 dan abangnya, Ibrahim Yaakob, 22, meninggal dunia di lokasi kejadian dipercayai akibat cedera parah di kepala.

Difahamkan, anak kelima dan bongsu daripada enam beradik itu sedang belajar di Kolej Universiti Tati di Kemaman dalam bidang kimpalan, dan menjadi kelaziman mereka pulang ke rumah setiap Khamis untuk bercuti hujung minggu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Asisten Superintendan Mohd Rosli Mohd Amir berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal Honda EX5 ditunggangi Mohamad Syafiq Hakimi tiba-tiba terbabas sebaik tiba di lokasi kejadian.

“Kemalangan tidak melibatkan kenderaan lain, sebaliknya motosikal itu terbabas sendiri. Akibatnya, dua beradik ini terjatuh dan tercampak beberapa meter. Seorang daripada mereka turut terkena besi pengadang di sebelah kiri.

“Kedua-dua mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat. Kes disiasat bawah Seksyen 41(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya, semalam.

Kata Mohd Rosli, kejadian itu mengakibatkan lampu hadapan motosikal terbabit rosak, cermin sisi kiri pecah, madgad patah selain signal depan kiri pecah, malah topi keledar dipakai seorang mangsa juga pecah.

Justeru katanya, orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati dengan mematuhi segala peraturan jalan raya, selain peka pada persekitaran termasuk papan tanda memaklumkan kawasan angin lintang.

-- Sumber: Sinar Harian, Sept 13, 2014

No comments:

Post a Comment