Saturday 13 September 2014

Mangsa nahas anak sendiri

Zamri sedih apabila mengetahui mayat tersebut adalah anak kesayangannya, Amirul.
Zamri sedih apabila mengetahui mayat tersebut adalah anak kesayangannya, Amirul.

KUALA PILAH – Seorang bapa tidak menyangka salah seorang mayat yang terbaring di atas jalan raya yang dilihatnya di hadapan Sekolah Menengah Tuanku Muhammad (TMS), pagi semalam adalah anak lelaki bongsunya.

Zamri Zakaria, 53, seorang Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kuala Pilah pada awalnya melalui jalan terbabit kerana ingin ke Gemas atas urusan kerja.

Namun selepas melihat sebuah motosikal Yamaha LC 135 berwarna hitam dan hijau remuk di atas jalan, dia mulai rasa tidak sedap hati sebelum mendekati mayat itu.

Dia sangat terkejut apabila mendapati mayat di bawah kain putih adalah anak kesayangannya yang meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan, kira-kira jam 10.40 pagi.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Azmi Abdul Rahim berkata, mangsa yang merupakan pelajar Universiti Teknologi Nasional (Uniten) dan seorang tukang besi terbunuh selepas motosikal ditunggangi mereka bertembung sesama sendiri di Kilometer 2, Jalan Kuala Pilah-Tampin,

Kedua-dua mangsa iaitu Amirul Zamri, 22, dan Chin Kok Shong, 51, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan akibat perlanggaran kuat.

Menurut Azmi, Amirul dipercayai dalam perjalanan pulang dari Uniten, Bangi, Selangor menuju ke rumahnya di Desa Permai, Selaru, Johol, dekat sini, sempena cuti hujung minggu dan Hari Malaysia.

Katanya, Kok Shong pula dikatakan dalam perjalanan dari bengkel besi di Senaling untuk ke pekan Kuala Pilah.

“Bagaimanapun, setibanya di lokasi kejadian, Amirul dipercayai cuba memotong sebuah kereta sebelum hilang kawalan dan bertembung dengan motosikal jenis Yamaha CDI 80 yang ditunggangi Kok Shong.

“Pertembungan kuat itu menyebabkan Kok Shong tercampak di bahu jalan kanan, manakala Amirul terbaring di atas jalan raya.

"Kedua-dua mangsa parah dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala motosikal mereka rosak teruk,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Sesyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najijah untuk bedah siasat.

"Pihak polis meminta kerjasama saksi kejadian supaya mohon tampil memberi maklumat kepada pihak polis atau boleh menghubungi di talian 064542222," katanya.

-- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment