Saturday 13 September 2014

23 pemain sempat pulang untuk duduk semula ujian BI, Sains

23 pemain sempat pulang untuk duduk semula ujian BI, Sains - Khairy

PUTRAJAYA: Pemain skuad bola sepak Projek 2019 yang berlepas ke London semalam akan tetap menduduki semula ujian subjek Bahasa Inggeris (BI) dan Sains dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 30 Sept ini.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata sebanyak 23 daripada 24 pemain merupakan pelajar UPSR dan mereka bersama lima jurulatih remaja negeri akan mengikuti sesi latihan dan persahabatan selama 10 hari di sana.

Katanya skuad di bawah selian Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) itu kembali ke tanah air pada 21 Sept ini dan pemain yang menduduki UPSR mempunyai masa sembilan hari untuk membuat ulang kaji.

"Namun saya juga ada menghantar surat cadangan kepada ibu bapa pemain sama ada mahu kementerian menghantar tenaga pengajar ke sana atau tidak," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Semalam, Lembaga Peperiksaan Malaysia mengumumkan 30 Sept ini sebagai tarikh baharu bagi peperiksaan dua subjek berkenaan selepas didapati berlaku kebocoran.

Dalam pada itu, skuad remaja itu akan mengikuti program latihan di Akademi Remaja Queens Park Rangers (QPR) dan akan menyertai beberapa siri perlawanan persahabatan dengan pasukan kelab remaja di sana.

Skuad Projek 2019 dijangka akan bertemu pasukan remaja QPR, Ipswich Town, Fulham, West Ham, Tottenham Hotspur dan Chelsea.

"Lawatan ini bertujuan memberi pendedahandan pengalaman kepada pemain muda kita, di samping mengajar ketua jurulatih remaja negeri di mana mereka akan jalani latihan kejurulatihan di Akademi QPR selama enam minggu," katanya.

Lima ketua jurulatih remaja tersebut ialah Mat Noor Bidin dari Terengganu, Mohamed Fadzlyn Mohamed Hanafi (Negeri Sembilan), Muhammad Firdaus Aziz (Kuala Lumpur), Osmera Omaro (Sabah) dan Wan Rohaimi Wan Ismail dari Kelantan.

Sementara itu, mengulas mengenai Program Pembangunan Atlet Elit sesi 2011-2014, Khairy berkata pihaknya akan membuat kajian semula program tersebut sebaik sahaja selesai Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan pada awal Oktober ini.

Beliau berkata kajian semula pelaksanaan program itu akan dilakukan oleh pakar dari luar negara dan hasil kajian akan siap menjelang akhir tahun sebelum dasar baharu program empat tahun itu dilaksanakan.
-- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment