KHALID: Suspek utama itu dipercayai orang dalam bank berkenaan - Gambar Fail
PUTRAJAYA: Polis telah mengenal pasti suspek utama yang melesapkan wang tunai hampir RM111,000 dari akaun empat penumpang pesawat MH370 yang hilang 8 Mac lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, suspek utama itu dipercayai orang dalam bank berkenaan dan kini sedang diburu pihak polis.
“Kita dah dapat pengenalan suspek itu, dan kita juga percaya ini ada kerjasama orang dalam di bank berkenaan dan kita sedang memburu mereka. Suspek yang kita buru itu sudah dikenal pasti,” Khalid berkata selepas menghadiri himpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya siang tadi.
Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Semalam Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisoner Izany Abd. Ghany berkata sejumlah RM111,000 telah dikeluarkan dari akaun empat penumpang MH370.
Perkara itu telah dikesan oleh pengurus bank yang terbabit dan pihak bank kini sedang membuat satu siasatan audit dalaman. Susulan itu pihak bank telah membuat laporan mengenainya pada 2 Ogos lalu dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer.
Pesawat Boeing 777-2000 itu membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur Ke Beijing sebelum dilaporkan hilang pada 8 Mac lalu. - Astro Awani
No comments:
Post a Comment