Thursday 14 August 2014

22 Ogos Hari Berkabung Negara sempena mengingati mangsa tragedi MH17

22 Ogos telah diisytiharkan sebagai Hari Berkabung Negara sempena mengingati mereka yang terkorban di dalam tragedi MH17 - Foto Bernama

KUALA LUMPUR: 22 Ogos telah diisytiharkan sebagai Hari Berkabung Negara sempena mengingati mereka yang terkorban di dalam tragedi MH17.

Perkara ini diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang berkata satu istiadat penghormatan jenazah akan diadakan pada hari itu di Kompleks Bunga Raya, KLIA bagi menyambut ketibaan jenazah berkenaan.

Namun, Muhyiddin berkata tiada cuti umum sempena Hari Berkabung Negara itu.

Beliau berkata istiadat penghormatan jenazah dijangka akan dihadiri Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu''adzam Shah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Barisan Menteri-Menteri, Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri.

Beliau berkata16 daripada 24 jenazah tragedi MH17 yang telah dikenalpasti identiti mereka oleh pihak berkuasa Amsterdam dijadual tiba di tanah air pada hari yang sama.

Daripada 16 jenazah yang tiba, enam beragama Islam manakala 10 lagi bukan Islam.

Bagi menghormati perasaan waris, nama kesemua jenazah mangsa yang dibawa pulang tidak akan didedahkan sehingga tiba di tanah air.

Sementara itu proses untuk memaklumkan dan membawa waris ke majlis istiadat penghormatan jenazah akan diuruskan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masuarakat.

Muhyiddin berkata baki lapan jenazah tragedi MH17 yang telah dikenalpasti akan dibawa pulang secara berperingkat dalam tempoh terdekat.

Baki jenazah akan dibawa pulang selepas lengkap semua proses yang perlu dilalui dan mendapat kebenaran pihak berkuasa Belanda. - Astro Awani

No comments:

Post a Comment