Monday 21 July 2014

Satelit AS boleh kesan peluru berpandu

Pemberontak pro-Rusia dilihat membawa kotak hitam yang dipercayai milik pesawat MH17.
Pemberontak pro-Rusia dilihat membawa kotak hitam yang dipercayai milik pesawat MH17.


SHAH ALAM - Persoalan pihak mana yang menembak pesawat MH17 hanya akan terjawab dengan cerapan satelit yang dapat merakam semasa kejadian itu berlaku.

Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Dr Noordin Ahmad berkata, cara itu adalah paling berkesan untuk mengheret pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

“Setakat ini, kita pastinya akan bergantung kepada satelit milik Amerika Syarikat (AS) untuk mendapatkan gambaran yang jelas dari mana sebenarnya peluru berpandu tersebut (ditembak).

“Berapa lama tempoh (diperlukan) untuk mengetahui (tembakan itu) angkara siapa, itu kita tidak dapat sahkan kerana negara terlibat (Ukraine) masih berlaku pergolakan,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun beliau yakin pesawat milik Malaysia bukanlah sasaran utama serangan tersebut memandangkan laporan sebelum ini menyebut laluan itu turut dilalui pesawat negara lain.

“Sebenarnya radar dapat kesan pesawat ini, tetapi kita pun tidak tahu mengapa ia ditembak, kalau mahu katakan ia tersalah tembak adalah sukar kerana peluru berpandu itu dituju ke arah pesawat.

“Apa pun pelbagai persoalan masih belum terjawab kerana kejadian ini mengejutkan semua pihak,” ujarnya.

Terdahulu dilaporkan Pasukan Antirisikan Asing Ukraine mendakwa mempunyai bukti menunjukkan pasukan puak pemisah yang disokong Rusia sebagai pihak yang bertanggungjawab dalam insiden MH17.

Ketua Perkhidmatan Keselamatan Jabatan Antirisikannya, Vitaliy Nayda berkata, beliau mempunyai bukti bergambar menunjukkan dua sistem peluru berpandu Buk-M1 dari Ukraine menyeberang ke Rusia pada jam 2 pagi (waktu Ukraine) pada 18 Julai, iaitu sehari selepas MH17 ditembak.

Menurut Nayda, tiga Buk-M1 buatan Rusia ditempatkan di wilayah Ukraine yang dikawal kumpulan pemisah ketika pesawat MH17 terhempas. - Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment