Monday 21 July 2014

MH17: Jurutera angkasa muda, Fatima Dyczynski pernah bercita-cita ke Marikh


Fatima Dyczynski. Foto diperoleh dari laman web Xoterra Space

KUALA LUMPUR: Cita-cita seorang jurutera aeroangkasa wanita untuk ke planet Marikh tidak tercapai apabila dia menjadi salah seorang penumpang yang terlibat dalam nahas Malaysia Airlines (MAS) MH17 Khamis lalu.


Fatima Dyczynski, 24 tahun, merupakan seorang warga Jerman yang menuntut di Universiti Teknologi Delft di Belanda, dan pernah menjadi pelajar di Kolej John XXIII, Perth, Australia.

Menurut The Sydney Morning Herald, beliau disifatkan sebagai seorang yang sangat bijak dan bercita-cita untuk menjadi angkasawan dan ingin terbang ke Marikh suatu hari nanti.

Selain itu, dia juga mempunyai impian untuk tinggal di Perth.

Dalam usia yang sangat muda, Fatima menjadi pengasas dan Ketua Pengarah Eksekutif Xoterra Space yang berpengkalan di Belanda. Beliau mencipta teknologinya sendiri dengan matlamat menjadikan angkasa lepas mudah diakses oleh orang ramai.

Xoterra Space dalam sebuah kenyataan di laman web mereka menyatakan rasa sedih mereka atas pemergian Fatima.

Syarikatnya itu menyifatkan Fatima sebagai seorang yang bertenaga, bersemangat, lantang, bijak, bercita-cita tinggi dan sangat bermotivasi.

"Ramai yang telah mendapat inspirasi oleh impiannya serta semangatnya dalam perniagaan dan inovasi. Takziah yang tidak terhingga kepada ibubapanya, keluarga dan rakan-rakannya," kata kenyataan itu lagi.

Selain itu, Fatima juga amat berbakat. Beliau menjadi pemain gitar dalam sebuah kumpulan rock, belajar Kung Fu di China dan mampu bertutur dalam bahasa Inggeris, Jerman, Perancis, Belanda serta Poland.





Beliau pernah mengembara ke 40 buah negara, dan merupakan seorang yang sangat optimis yang sentiasa yakin bahawa sesuatu perkara itu tidak mustahil untuk dicapai.

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment