Monday 21 July 2014

MH17: Jangan jadikan mayat sebagai bahan rundingan- Julie Bishop

Menteri Luar Australia, Julie Bishop

Jangan menggunakan mayat mangsa nahas pesawat MH17 sebagai bahan rundingan desak Menteri Luar Australia Julie Bishop yang menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyokong draf resolusi yang ditaja Australia bagi menuntut laluan penuh pasukan penyiasat ke lokasi nahas.

Menurut laporan ABC News itu sehingga kini, kumpulan pemberontak Ukraine masih tidak membenarkan pasukan penyiasat mendapat akses penuh ke lokasi nahas dan telah memindahkan mayat ke gerabak keretapi yang dilengkapi dengan peti sejuk ke satu lokasi yang tidak didedahkan.

Seorang wartawan ABC berkata kira-kira 200 mayat telah dilihat diangkut ke sebuah keretapi yang pemandunya mendakwa tidak mengetahui ke manakah destinasinya.

Bishop juga berkata beliau akan berusaha untuk mendapatkan masa undian paling awal.

"Semua negara mesti menyokong resolusi ini agar mayat mereka dipulangkan kepada insan tersayang. Saya tidak dapat membayangkan ada situasi kemalangan udara dalam sejarah di mana mayat masih berada di lokasi nahas sehari selepas hari kejadian" kata Bishop dipetik oleh ABC News.

Moscow sebelum ini menafikan sebarang penglibatannya dengan insiden menembak jatuh pesawat MH17 dan sebaliknya menunding jari kepada tentera Ukraine.

Sementara itu Perdana Menteri Australia, Tony Abbott telah menghubungi Presiden Rusia, Vladimir Putin buat pertama kali sejak nahas itu berlaku pada Ahad.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kremlin, kedua-dua pemimpin bercakap mengenai keperluan untuk mengelakkan kenyataan politik berkaitan dengan tragedi itu.

Pesawat Boeing 777 yang sedang membawa 298 penumpang dan anak kapal itu dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur sebelum terhempas di timur Ukraine Khamis lalu.

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment