Monday 21 July 2014

Mahu tukar susu dengan dadah

Tertuduh akan dihantar menjalani hukuman penjara selepas dihukum, semalam.
Tertuduh akan dihantar menjalani hukuman penjara selepas dihukum, semalam.

KOTA BHARU - Seorang lelaki yang gambarnya dimuat naik di laman sosial facebook ketika ditangkap kerana mencuri lima tin susu, 14 Julai lalu, mengaku mahu menukarkan susu itu dengan dadah.

Pengakuan dibuat oleh Abdullah Zawawi Yahya di hadapan Majistret, Nik Habri Muhamad di mahkamah majistret, di sini, semalam.

Tertuduh mengaku mencuri lima tin susu pekat pelbagai jenama itu di sebuah kedai runcit di Kampung Pauh Panji, Kubang Kerian, di sini, pada jam 7.15 petang, 14 Julai lalu.

Padah daripada perbuatannya itu, Nik Habri menjatuhkan hukuman penjara selama tujuh hari dan denda berjumlah RM500 atau diarah menjalani hukuman penjara tambahan dalam tempoh tiga bulan, jika denda itu gagal dijelaskan.

Pada prosiding semalam, peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kelantan memberitahu mahkamah tertuduh yang berusia 43 tahun itu tinggal bersendiri dan tidak mempunyai keluarga.

Katanya, lelaki bujang itu juga sudah mengaku kesalahannya serta insaf dan menyesali atas perbuatan tersebut. Hukuman diputuskan Nik Habri mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Pendakwaan terhadap tertuduh dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara yang boleh sampai 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda di bawah seksyen berkenaan.

Dalam insiden tersebut, tertuduh ditahan oleh pengadu yang juga pemilik kedai runcit tersebut sendiri ketika cubaannya membawa lari susu-susu berkenaan keluar dari kedai pengadu.

Pengadu yang berjaya menangkap tertuduh di hadapan kedai berkenaan kemudian menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Gambar dia ditangkap ketika melakukan perbuatannya itu menjadi perbualan di facebook dan menimbulkan pelbagai reaksi daripada pengguna laman sesawang berkenaan. - Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment