Ching Chuk (dua kanan) menenangkan anaknya yang masih terkejut dengan insiden itu sambil diperhatikan Chong Siang (kanan).
KUANTAN – Jeritan seorang kanak-kanak berusia lapan tahun yang terkejut dengan kehadiran seorang lelaki tidak dikenali ketika berada di dalam kereta ibunya membatalkan niat penjenayah berkenaan untuk bertindak lebih jauh.
Bagaimanapun, lelaki itu sempat merampas telefon bimbit berjenama Samsung S5 yang dipegang kanak-kanak berkenaan sebelum melarikan diri.
Ibu mangsa, Phang Ching Chuk, 38, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9.45 pagi di hadapan rumahnya di Lorong seri Setali 32, Taman Tunas Jaya.
Menurutnya, selepas mengambil anaknya di sekolah dia pulang ke rumah untuk mengambil beg duit dan meninggalkan anaknya di dalam kereta yang diparkir dalam pagar di hadapan rumah mereka.
Katanya, dia turut mematikan enjin kereta dan membawa sekali kunci ke dalam rumah kerana bimbang anaknya akan menekan pelbagai butang automatik di dalam kereta.
“Saya buka sedikit pintu hadapan bagi mengelak kejadian terkunci dari dalam dan ketika itu anak saya sedang memegang telefon milik saya.
“Saya masuk ke dalam rumah untuk mengambil beg duit untuk keluar makan, tetapi tiba-tiba saya terdengar anak menjerit dan bergegas keluar," katanya.
Ching Chuk berkata, ketika berada di pintu, dia dapati seorang lelaki sedang lari menuju ke sebuah kereta yang menunggu di luar rumah.
“Saya terus mendekati anak dan membawa dia segera ke dalam rumah serta mengunci pintu kerana takut.
“Anak saya amat terkejut dan takut, dia memberitahu lelaki tidak dikenali itu merebut telefon yang berada di tangannya tetapi terus melarikan diri apabila dia menjerit," katanya.
Menurutnya, dia mengesyaki lelaki berkenaan ingin mencuri kereta tetapi tindakannya tidak meninggalkan kunci di dalam kereta dan anak pula menjerit membuatkan suspek cabut lari.
“Selain telefon, saya juga kehilangan lesen memandu dan kad pengenalan yang diselit pada sarung telefon.
“Selepas itu saya terus membuat laporan polis tetapi masih terkejut dengan insiden ini,” katanya kepada pemberita ketika kunjungan Adun Teruntum, Sim Chong Siang ke kediamannya, di sini, kelmarin.
Sementara itu, Chong Siang berkata, pihak berkuasa harus meningkatkan pemantauan bagi membanteras gejala seperti ini.
“Difahamkan kejadian ragut agak tinggi di daerah ini dan kita berharap pengawalan akan dipertingkatkan.
“Kepada wanita juga diharapkan lebih berhati-hati ketika keluar rumah dan mengelak daripada menjadi mangsa penjenayah,” katanya. - Sinar Harian
No comments:
Post a Comment