Monday, 14 July 2014

Brazil tamatkan kontrak Scolari

Brazil tamatkan kontrak Scolari beberapa jam selepas Jerman mengalahkan Argentina di Piala Dunia 2014.

RIO DE JANEIRO: Konfederasi Bola Sepak Brazil (CBF) mengumumkan tidak memperbaharui kontrak jurulatihnya, Luiz Felipe Scolari beberapa jam selepas Jerman mengalahkan Argentina dan memenangi Piala Dunia 2014, lapor media tempatan.

Scolari, 65 tahun, yang membawa kemenangan kepada pasukannya pada kejohanan Piala Dunia 2001, menjadi buah mulut peminat pasukan bimbingannya selepas tewas mengejut di tempat sendiri.

Pasukan Brazil bermula dengan agak hambar dan dimalukan 7-1 pada perlawanan separuh akhir oleh pasukan Jerman di Belo Horizonte.

Menambah derita, pasukan bimbingannya tewas 3-0 pada pasukan Belanda dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.

Scolari sebelum ini berkeras tidak akan meletak jawatan. Beliau sebelum ini menjadi jurulatih Chelsea dan pengurus pasukan Portugal, yang turut tewas pada perlawanan akhir Euro 2004.

Scolari yang popular dengan nama gelaran Felipao membawa Brazil merangkul Piala Dunia pada 2002 di Jepun. Scolari mengambil alih pasukan itu pada Disember 2012 sebelum Brazil menjadi tuan rumah Piala Konfederasi.

Brazil memenangi kejohanan itu, sekali gus raptai awal Piala Dunia dengan mengalahkan juara bertahan, Sepanyol dengan jaringan 3-0.

Kemenangan itu merupakan bayangan persediaan awal Brazil menjulang trofi Piala Dunia untuk kali keenam sekali gus kejayaan pertama di tempat sendiri.

Pengkritik bagaimanapun tidak yakin dengan corak latihan Scolari selain menyifatkannya sebagai taktik kasar. - Agensi

No comments:

Post a Comment