Wednesday 9 July 2014

Lelaki ditahan bantu kes tetak di Nibong Tebal

NIBONG TEBAL - Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes seorang pemilik pusat karaoke cedera parah diserang tiga lelaki bersenjatakan parang di hadapan premis hiburan itu di Simpang Ampat, di sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Superintendan Shafien Mamat berkata lelaki berusia 29 tahun itu ditahan di Bukit Tambun, dekat sini pada pukul 1.30 tengah hari semalam.

"Lelaki yang ditahan dan bekerja sebagai peniaga itu bukan seorang daripada yang menyerang mangsa tetapi kami percaya kejadian itu akibat perselisihan faham antara mangsa dan lelaki yang ditahan itu melibatkan masalah hutang," katanya.

Beliau berkata lelaki yang mempunyai dua rekod jenayah berkaitan dadah dan menyebabkan kecederaan parah itu kini direman bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian pukul 3.20 pagi itu, seorang pemilik pusat karaoke berusia 56 tahun cedera selepas ditetak di beberapa bahagian badan termasuk kepala dan kini dirawat di sebuah hospital swasta di sini. 

Shafien berkata usaha mengesan tiga lelaki yang menyerang mangsa masih giat dijalankan dan polis percaya mereka diupah untuk bertindak sedemikian.

"Kami percaya mereka masih berada di sekitar negeri ini dan siasatan awal mendapati mangsa tidak mengenali tiga lelaki yang menyerangnya," katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu atau mengenai tiga lelaki berusia 20 hingga 30 tahun yang menyerang pemilik pusat karaoke itu, supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sementara itu, polis mencari seorang lelaki rakyat Myanmar yang dikenali sebagai Tang Jing, 30-an, bagi membantu siasatan kes bunuh pembekal ayam di Jalan Changkat, di sini pada 20 Jun lepas.

Shafien berkata polis telah mendapat lakaran wajah lelaki itu yang bekerja dengan mangsa dan dipercayai melarikan diri sebaik kejadian itu. 

"Lelaki itu tidak mempunyai dokumen perjalanan diri dan kami percaya dia yang bekerja di negeri ini sejak beberapa tahun lepas masih berada di Pulau Pinang dan bersembunyi bagi mengelak dikesan polis," katanya.

Dalam kejadian itu, mayat Tan Chye Sian, 41, ditemui abangnya yang datang ke premis berkenaan pada pukul 10 pagi selepas mangsa tidak menjawab panggilan telefonnya.

Sementara itu, Shafien berkata polis turut mencari seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes pembunuhan S.Vijaindran, 24, di hadapan sebuah kedai di Bandar Tasek Mutiara, di sini pada 7 Jun 2011.

Lelaki yang dikenali sebagai M.Sundaresan, 26, dan alamat terakhir di 24A, Jalan Tasek SS 1, Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat, di sini merupakan saksi utama kes itu.

"Kes itu telah didakwa di mahkamah hari ini selepas seorang lelaki menyerah diri pada 25 Jun lepas dan polis memang mencari dia dan Sundaresan sejak tiga tahun lepas bagi membantu kes itu," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki Myanmar dan Sundaresan boleh menghubungi pegawai penyiasat Asisten Komisioner M.Govindarajan di talian 019-5663040 atau balai polis berhampiran. -- Bernama

No comments:

Post a Comment