Wednesday, 9 July 2014

Indonesia memillih: Gabenor atau bekas jeneral?

Tanggal 9 Julai bakal mencatat satu lagi sejarah dalam lipatan kisah Indonesia apabila Pemilihan Presiden (PILPRES) Pemilihan Umum Indonesia (PEMILU) 2014 berlangsung, dengan menyaksikan lebih 180 juta rakyat republik itu mengundi bagi memilih pemimpin negara mereka.

Gandingan Joko Widodo atau Jokowi bersama Jusuf Kalla dilihat semakin mencuri keyakinan rakyat Garuda Merah Putih berbanding gandingan Prabowo Subianto dan Hatta Rajasa menerusi satu kajian yang dijalankan oleh firma Kajian dan Rundingan Saiful Mujani.

Firma tersebut menyifatkan dengan perbezaan tipis itu, pemilihan presiden secara langsung ketiga negara tersebut sejak berakhirnya pemerintahan autokratik pada 1998 itu kini menjadi satu ujian.

Jokowi yang berasal dari generasi ketiga pemimpin politik tanpa sebarang kaitan dengan pimpinan autokrasi, berbeza dengan Prabowo yang merupakan tokoh ketenteraan ketika era pemerintahan Suharto selama tiga dekad.

Jokowi memiliki sokongan padu melebihi 30 peratus berbanding Prabowo sehingga beberapa bulan lalu apabila beliau tiba-tiba berdepan dengan kempen Prabowo yang licik dan serangan negatif yang bertali arus, mengakibatkan beliau kehilangan sokongan secara mendadak.

Kajian tersebut melibatkan sekitar 2,000 pengundi selama empat hari, dengan kadar margin kesilapan sebanyak 2.2 peratus.

Gandingan Prabowo Subianto (kanan) dan Hatta Rajasa (kiri). -foto AP
Prabowo: Bekas Jeneral dengan sejarah hitam

Calon presiden Prabowo Subianto pernah mengakui bahawa beliau telah mengarahkan penculikan aktivis demokrasi ketika hari-hari terakhir pemerintahan Suharto dan pernah dihalang daripada memasuki Amerika Syarikat ekoran salah guna kuasa.

Masa silam Prabowo bagaimana pun seolah-olah tidak memberi kesan terhadap sokongan yang diterima setelah beberapa siri ucapannya mengketengahkan perihal nasionalis dan janji untuk kepimpinan yang kuat.

Kekayaan dan sokongan beberapa parti Islam menjadi faktor utama kepimpinannya kini mulai diterima.

Menurut satu laporan oleh AFP, Prabowo disifatkan sebagai ‘amat lapar’ untuk menjadi presiden oleh penganalisis veteran Kevin Evans.

“Saya rasa Prabowo mula sedar bahawa ini merupakan peluang terakhirnya, maka ia adalah sekarang atau tiada lagi. Dia mempunyai cita-cita besar untuk dirinya dan negara ini sejak muda,” ujarnya kepada AFP.

Bagi seorang bekas jeneral yang kini seorang usahawan dengan nilai Rp 1.67 trillion (RM445.47 juta), kejayaan pada pemilihan kali ini akan menjadi kemuncak utama dalam perjuangannya memegang tampuk kepimpinan.

Prabowo sebelum ini pernah cuba untuk menjadi calon presiden parti Golkar pada 2004 namun gagal dan kemudian meninggalkan parti itu untuk menubuhkan partinya sendiri yang digelar Gerakan Indonesia Raya atau Gerindra.

Apabila tewas sebagai calon naib presiden bersama Megawati Soekarnoputri pada 2009, beliau kemudiannya pada tahun 2011 menegaskan rancangannya untuk bertanding sebagai presiden pada PEMILU 2014.

Namun kemahuannya itu menimbulkan kerisauan akan kembalinya sistem pemerintahan autokrasi yang telah terhenti sejak 1998.

Prabowo Subianto Djojohadikusumo dilahirkan pada 1951 dalam sebuah keluarga yang kaya raya. Bapanya Sumitro Djojohadikusumo pernah menjadi menteri kewangan dan perdagangan manakala datuknya merupakan pengasas bank milik negara itu yang pertama.

Ketika berusia lima tahun, keluarganya lari ke luar negara seperti Singapura, Switerland dan England apabila ayahnya terlibat dengan gerakan pemisah.

Prabowo kemudian kembali ke Indonesia pada 1970 dan menyertai tentera dan seterusnya mengahwini anak Suharto bernama Siti Hediati Hariyadi pada 1983.

Dia kemudian disingkirkan daripada tentera setelah terlibat dengan kes penculikan pada 1998 dan dibuang negeri secara sukarela ke Jordan.

Sekembalinya ke Indonesia beberapa tahun kemudian, dia menceburi bidang perniagaan daripada pulpa dan kertas, hingga ke minyak sawit dan tenaga.

Pengkritik mengakui kerisauan Indonesia akan kembali ke pemerintahan autokratik sekiranya tampuk pimpinan dipegang oleh Prabowo.



Gandingan Joko Widodo (kiri) dan Jusuf Kalla (kanan). - foto AFP
Jokowi: Dari tukang kayu kepada calon presiden

Joko Widodo dilahirkan pada 1961 di Surakarta, Jawa Tengah, Indonesia dan dibesarkan dalam sebuah pondok buluh di sebuah kawasan setinggan berhampiran tebing sungai.

Populariti Widodo yang lebih mesra dikenali sebagai Jokowi mendadak naik apabila dilantik menjadi Gabenor Jakarta pada 2012 ekoran kejayaannya sebagai Datuk Bandar tempat kelahirannya, Surakarta.

Sifat Jokowi yang merendah diri menambat rata-rata hati rakyat Indonesia apabila dia dilihat tampil lebih sederhana dan tidak bermegah-megah dengan kedudukannya.

Ini jelas nyata apabila bapa kepada tiga orang anak ini selalu dilihat menghadiri konsert untuk memenuhi minatnya terhadap muzik metal.

Beliau juga mengamalkan pendekatan kebersamaan dalam menangani permasalahan rakyat disamping turut turun padang memakai pakaian kasual untuk memastikan pegawai-pegawai melakukan tugas mereka dengan telus.

Sifat inilah yang memperjelaskan perbezaan kepimpinan yang bakal dinikmati oleh Indonesia sekiranya beliau terpilih, berbanding kepimpinan ala tentera dan diktator yang diamalkan di negara itu sejak dahulu.

Jokowi menamatkan pembelajaran bidang perhutanannya di sebuah universiti di Indonesia dan memulakan perniagaan perabot seterusnya menceburi politik pada 2005 sebagai Datuk Bandar Solo.

Antara kejayaan pimpinannya ialah memindahkan masyarakat setinggan ke perumahan bertingkat dan menempatkan semula ratusan peniaga jalanan daripada membanjiri kaki lima.

Setelah dilantik menjadi Gabenor Jakarta, beliau kemudiannya memperkenalkan ‘Kartu Jakarta Sihat’ yang mensasarkan kemudahan kesihatan untuk penduduk miskin.

Apa yang menjadi kesangsian para penganalisa politik ialah kemampuan dan kesediaan Jokowi untuk mentadbir sebuah negara yang paling kaya dengan kepulauannya di samping kekurangan pengalamannya yang belum pernah memegang jawatan politik peringkat nasional.



Indonesia Memilih: PEMILU 2014 melibatkan 190.3 juta pengundi berdaftar. -foto EPA
Tarikh dan angka penting pemilihan

PEMILU 2014 melibatkan sejumlah 190.3 juta pengundi berdaftar dengan 29 peratus berusia antara 17 hingga 29 tahun, di mana 11 peratus merupakan pengundi kali pertama.

Pemilihan legislatif pada April menyaksikan 75 peratusan keluar mengundi berbanding 71 peratus pada 2009.

9 Julai – Pemilihan Presiden di mana undi akan mula dikira setelah undian ditutup pukul 2 petang waktu Malaysia.
Agensi bebas akan memberikan jumlah pengiraan cepat seluruh negara pada 8 malam waktu Malaysia. Walaupun pengiraan ini tidak rasmi, sejarah lalu membuktikan pengiraan ini tepat.

21-22 Julai – Keputusan rasmi diumumkan

23-25 Julai – Calon dibenarkan membuat bantahan keputusan di Mahkamah Perlembagaan.

22 Ogos – Mahkamah Perlembagaan mengumumkan keputusan sekiranya terdapat bantahan

20 Oktober – Pengesahan dan pelantikan Presiden baru

Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment