Tuesday, 6 May 2014

Obama terharu layanan baik, mesra Malaysia

Barack Obama
Presiden Amerika Syarikat Barack Obama setibanya di Lapangan Terbang Tentera Udara Diraja Malaysia, Subang bagi rangka lawatan ke ibu negara selama tiga hari bermula hari ini. - Foto Bernama


KUALA LUMPUR - Walaupun hanya sempat berada selama tiga hari di negara ini, namun Presiden Amerika Barack Obama amat terharu dengan layanan istimewa yang beliau terima daripada Malaysia serta terpikat dengan keramahan dan kemesraan rakyatnya.

Perkara ini dinyatakan Duta Besar Amerika di Malaysia Joseph Y Yun pada perjumpaan meja bulat dengan media di kedutaan Amerika di sini hari ini, dan menurut beliau, Obama meninggalkan Malaysia dengan membawa kenangan manis yang begitu berkesan di hatinya.

"Sepeninggalan beliau, Obama meminta saya menyampaikan ucapan terima kasih beliau kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak), yang katanya seorang tuan rumah yang amat berhemah serta kepada beberapa menteri, termasuk (Menteri Luar Datuk Seri) Anifah Aman, (Menteri Belia dan Sukan) Khairy Jamaluddin, yang juga menteri pengiring, yang memainkan peranan besar dalam kunjungan beliau itu.

"Beliau begitu bersungguh-sungguh meminta saya menyampaikannya (ucapan terima kasih) kepada tuan rumah atas layanan mesra serta budi baik mereka sepanjang lawatan itu. Obama sungguh terharu dengan sambutan yang diberi kepadanya ke mana sahaja beliau pergi oleh rakyat Malaysia, pelajar di Universiti Malaya, usahawan muda di Cyberjaya dan para pemimpin masyarakat sivil," katanya.

Lawatan rasmi bermula 26 April ke negara Asia Tenggara yang mempunyai 30 juta penduduk ini - sebahagian daripada rangka kunjungan Obama ke empat negara Asia - merupakan kunjungan pertama presiden Amerika ke negara ini sejak 48 tahun lepas, setelah kali terakhir dilakukan Presiden Lyndon B. Johnson pada 1966. Yun berkata Obama terharu apabila melihat orang ramai sangggup menunggu untuk melihat kelibat presiden Amerika itu di laluan yang digunakannya ketika berada di negara ini.

Menurut Yun, beliau berpendapat Obama dan Najib mempunyai hubungan yang amat baik serta begitu serasi antara satu dengan lain, seolah-olah dua sahabat yang sudah lama tidak berjumpa.

"Mereka sudah banyak kali bertemu di pentas pelbagai hala serta dua hala dan apabila saya melihat mereka berinteraksi dengan baik, barulah saya menyedari bahawa mereka sememangnya mengenali satu sama lain dengan baik dan oleh itu, tidak perlulah saya memberi sebarang taklimat kepada presiden," katanya sambil menjelaskan bahawa kunjungan Obama ke negara ini amat berjaya.

Menurut beliau, secara peribadi, banyak yang diketahui Obama tentang Malaysia dan inilah yang menyebabkan beliau sentiasa berasa selesa dari segi hubungan, yang ingin beliau pertingkatkan antara Amerika dan rantau ini.

"Sejarah peribadi beliau amat bermakna, sebagai contoh, pada majlis jamuan negara, beliau mengimbau kisah lampau perihal ibunya yang gemar mengumpul kain batik serta iparnya dari sebelah Indonesia yang merupakan rakyat Malaysia.

"Malah, pada majlis jamuan tengah hari dua hala di Seri Perdana, Obama memberitahu orang ramai cara sebenarnya untuk menyediakan nasi goreng yang enak. Beliau juga bergurau tentang durian, yang pernah beliau cuba makan beberapa kali, tetapi bukanlah buah kegemarannya," kata Yun.

Beliau berkata, melalui hubungan persahabatan unik yang terjalin antara Obama dan Najib, kedua-dua pemimpin itu dapat membawa hubungan Amerika dan Malaysia ke peringkat perkongsian komprehensif melalui peningkatan kerjasama dalam bidang ekonomi, keselamatan, pendidikan, sains, teknologi dan banyak lagi.

Menjelaskan tentang Program Pengecualian Visa Amerika, Yun berkata Malaysia perlu memenuhi syarat yang terkandung dalam undang-undang dan peraturan negaranya, termasuk kadar sekatan visa perlulah kira-kira tiga peratus, kewajipan Malaysia melaporkan kepada Interpol tentang pasport yang dicuri atau hilang dan pertukaran data tentang pengganas dan penjenayah.

"Walaupun Malaysia sudah memenuhi beberapa syarat seperti penyediaan pasport yang mampu dibaca mesin, membenarkan rakyat Amerika memasuki negara ini tanpa visa serta beberapa kemajuan lain, namun ia mungkin mengambil sedikit masa sebelum layak menikmati program itu," katanya.

Bagaimanapun, tegas beliau setakat ini tiada tarikh ditetapkan untuk mengadakan perundingan dan taklimat teknikal berkaitan urusan membuat penilaian tentang program itu.

Rakyat negara yang disenaraikan di bawah program pengecualian visa itu dibenarkan berkunjung dan tinggal di Amerika bagi tempoh maksimum 90 hari.

Kadar penafian visa Malaysia kekal sebanyak lima peratus.

Mengenai giliran Malaysia yang akan menjadi pengerusi Asean pada 2015, Yun berkata Amerika menunggunya dengan penuh minat dari segi diplomatik dan ekonomi serta bersedia memberi sumbangan besar berkaitan hala tuju Asean dan hasratnya untuk menjadi satu lagi gergasi serantau.

"Amerika sentiasa menyokong Asean sebagai sebuah kumpulan negara dan sebab itulah kami menyertai Sidang Kemuncak Asia Timur serta menawarkan bantuan teknikal kepada Asean mengenai pasaran tunggal, isu tenaga. Ia memberi peluang kepada Amerika untuk melakar banyak kemajuan dalam pelbagai perkara," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment