Tuesday 6 May 2014

Dewan Negara lulus rang undang-undang GST 2014

Rang Undang-undang GST diluluskan Dewan Negara pada hari Isnin.


KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 2014, iaitu peruntukan undang-undang bagi pengenaan dan pemungutan cukai barang dan perkhidmatan serta perkara berkaitan, diluluskan
Dewan Negara pada Isnin.

Rang undang-undang itu diluluskan setelah dibahas 31 anggota dewan.

Undang-Undang itu bertujuan memperkemas sistem percukaian untuk menjadi semakin efisien dan menjamin masa depan negara dengan hasil lebih mantap.

Terdahulu, ketika menggulung perbahasan, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata GST perlu dilaksana kerana kerajaan berpendapat sistem percukaian sedia ada tidak efektif khususnya dalam membantu perkembangan ekonomi negara.

"Kita akui sistem cukai yang ada sekarang ini agak lemah dan kerajaan perlukan satu sistem percukaian baharu yang lebih efektif kepada negara... sebab itu kita perkenalkan GST.

"Apakah pembangkang membantah pelaksanaan GST sebab nak teruskan sistem cukai yang lemah ini sedangkan kita telah tawarkan satu sistem percukaian yang lebih efektif, telus yang boleh mengurangkan kebergantungan kepada cukai petroleum," katanya.

Beliau berkata walaupun pengenalan GST akan menyebabkan kenaikan 1.8 peratus Indeks Harga Pengguna namun masyarakat tidak perlu bimbang kerana ia bersifat sementara, satu proses biasa bagi mana-mana peralihan kepada sistem cukai yang baharu.

Ahmad berkata sebanyak 689 barang dikategori sebagai barangan yang dikenakan GST dan daripada jumlah itu, hanya 73 mengalami kenaikan harga, 287 mengalami penurunan harga, 329 kekal manakala 255 sedang disemak.

Beliau berkata bagi mengelak pengguna ditipu peniaga yang mungkin bertindak menaikkan harga barang sesuka hati, kerajaan akan mengeluarkan buku panduan pembeli yang mengandungi 1,000 jenis barang tiga bulan sebelum GST dilaksana.

Berbeza dengan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan 1975 (SST), yang merupakan cukai seperingkat, GST adalah cukai berperingkat dengan pembayaran cukai dibuat dalam pelbagai peringkat oleh perantara dalam proses pengeluaran dan pengagihan.

GST akan diperkenal pada April 2015 pada kadar enam peratus menggantikan SST sebanyak 16 peratus.

Dalam pada itu, Ahmad berkata tindakan diambil ke atas 76 individu berhubung Laporan Ketua Audit Negara 2012 iaitu 32 diberi amaran, 41 dikenakan surcaj, dua didenda dan seorang dibuang kerja.

Beliau berkata daripada 121 kes terkumpul, 92 sudah selesai manakala 53 kes didapati tidak melibatkan unsur penyelewangan, penyalahgunaan kuasa dan pembaziran.

Bagi Laporan Audit Negara siri 1/2013, Ahmad berkata 17 jawatankuasa ditubuh di bawah Jabatan Perkhidamatan Awam bagi memastikan setiap teguran dan mereka yang didapati bersalah diambil tindakan sewajarnya.

Daripada 303 syor yang dinyatakan, 55 teguran perlu diambil tindakan manakala 248 teguran boleh diperbaiki, katanya.

Persidangan dewan bersambung hari ini. - Bernama

No comments:

Post a Comment