Sunday 2 March 2014

Trend syarikat ambil pekerja semakin berubah

graduan
Sebanyak 99 peratus pencari kerja ditemui syarikat secara dalam talian. Gambar hiasan.

SEKTOR swasta di Malaysia antara yang menggunakan amalan baru dalam mencari pekerja bagi syarikat masing-masing, menurut laporan dikeluarkan firma pengambilan pekerja, Cazar yang menunjukkan bagaimana organisasi kini mengubah cara pengambilan pekerja.

Laporan itu memperincikan saluran digunakan syarikat di Asia Pasifik dan Timur Tengah untuk mendapatkan tenaga kerja.

Antara penemuan menarik adalah 99 peratus calon ditemui dalam talian (online), dan majikan secara puratanya menggunakan 12 saluran untuk mendapatkan pekerja.

Selain itu, hanya satu peratus pencarian pekerja dibuat menggunakan sumber tradisional seperti media cetak dan pameran kerjaya.

Ketua Pegawai Eksekutif Cazar Guy Rickett berkata, majikan mengguna pakai set minda seperti membuat strategi jualan dan pemasaran untuk menarik pekerja berkualiti.

"Mereka menggunakan pelbagai saluran online seperti laman web khusus untuk karier.

"Kami menjangkakan trend ini akan mendapat momentum tahun ini dan seterusnya," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Rickett, selepas Singapura, Malaysia adalah negara di Asia Tenggara yang mempunyai kadar penembusan internet tertinggi jadi pengambilan pekerja secara online diyakini menjadi pilihan majikan pada masa depan.

Menurut laporan Cazar, secara puratanya, setiap kerja kosong menarik 272 pemohon.

Laporan itu meliputi tempoh 12 bulan sepanjang 2013 merentasi pelbagai sektor seperti peruncitan, pembinaan, perbankan, teknologi maklumat, media dan telekomunikasi.

Ianya berdasarkan analisis 3.9 juta pemohon pekerjaan dan 14,212 pengambilan kerja di benua Asia.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment