Sunday 2 March 2014

Syarikat besar jadi dalang penyeludupan

Syarikat besar jadi dalang penyeludupan
Abdul Latif (dua, kanan) menunjukkan tangki ubah suai menggunakan sebuah van yang digunakan untuk tujuan penyeludupan petrol. - Foto Sinar Harian

ALOR SETAR - Kegiatan penyeludupan petrol dan diesel di sempadan Malaysia-Thailand dekat Bukit Kayu Hitam dipercayai didalangi beberapa syarikat besar yang berdaftar.

Komander Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Kedah, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, perkara itu kerana ia melibatkan beberapa lori tangki minyak besar yang mengagihkan minyak kepada beberapa lori tangki minyak kecil di sekitar negeri ini.

Menurutnya, pihaknya memandang serius masalah terbabit dan sentiasa mengadakan operasi intipan untuk mencegah kegiatan itu daripada berleluasa.

“Hasil pemerhatian, kita dapati kegiatan penyeludupan ini sebenarnya didalangi beberapa syarikat berdaftar. Buktinya kita boleh kesan menerusi format pergerakan mengiringi minyak oleh lori yang berkenaan.

“Apabila ditahan, kita tengok dokumen ataupun rekod perjalanan itu tidak mempunyai tandatangan sah dan ada juga dokumen yang tidak lengkap bagi tujuan mengiringi minyak,” katanya kepada Sinar Harian.

Abdul Latif berkata, ada kalanya juga, dokumen yang ditunjukkan pemandu lori berkenaan pelik dan menimbulkan keraguan.

“Kita susah nak mengesan mereka sebab mereka selalunya bergerak pada waktu tengah malam ataupun pada awal pagi, sewaktu tiada penguatkuasaan dilakukan.

“Bagaimanapun, intipan awal kita mendapati, kegiatan ini sering berlaku di kawasan Gurun. Sebuah lori tangki minyak besar akan tunggu di suatu kawasan, sebelum diagihkan kepada beberapa lori tangki minyak yang lain,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan mengambil tindakan selagi mereka yang berkenaan tidak melalui kawasan sempadan atau cuba memasuki kawasan sempadan.

“Kalau mereka masuk ke kawasan sempadan ataupun berlegar di sekitar Bukit Kayu Hitam, memang kita akan tahan. Kita tidak akan tunggu lama.

“Mereka yang ditahan kemudiannya akan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk tindakan undang-undang,” katanya.

Guna kereta lama

Menurutnya, amat membimbangkan apabila modus operandi terbabit sudah bertukar dengan menggunakan kereta lama bagi tujuan memudahkan aktiviti penyeludupan ke negara jiran.

“Modus operandi itu berjaya dikesan anggota penguatkuasaan UPP yang menahan mereka di kawasan sempadan.

“Mereka cuba memasuki negara jiran dengan membawa lebihan minyak diesel mahupun petrol dengan mengubah suai but belakang kereta. Kebiasaannya but belakang kereta itu akan diubah suai dengan beberapa tangki dan botol besar untuk mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Bagaimanapun, modus operandi terbabit dilihat gagal kerana mereka sering berlegar-legar di kawasan sempadan sebelum masuk ke negara jiran melalui Bukit Kayu Hitam.

“Kalau kita nak mengesan mereka ini mudah saja. Melalui suatu lokasi di Changloon, kita sudah boleh tahu ke mana arah mereka, sama ada ke Bukit Kayu Hitam ataupun Padang Besar.

“Sekiranya melalui Bukit Kayu Hitam, kita akan mengarahkan beberapa anggota bersiap sedia dan mengawal ketat pintu sempadan untuk menahan mereka yang berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang ada melihat transaksi meragukan di stesen minyak boleh melaporkan kepada pihak UPP ataupun mana-mana balai polis berhampiran. - Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment