Sunday 2 March 2014

Kurang 10 peratus hadiri sesi dengar bantahan cukai taksiran DBKL


KUALA LUMPUR: Tidak sampai 10 peratus daripada 166,000 pemilik hartanah yang membantah kenaikan cukai taksiran oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hadir sesi mendengar bantahan penilaian semula cukai itu, kata Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata walaupun DBKL telah mengambil inisiatif mengadakan sesi tersebut yang memberi ruang kepada orang ramai menyatakan pendapat mereka, namun jumlah yang hadir adalah sedikit.

"Bila kita mengadakan sesi mendengar bantahan itu dan memberi penjelasan, baru mereka faham...mereka pun lupa dalam 21 tahun harga nilai sewaan di Kuala Lumpur tidak pernah dinaikkan", katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Lorong Seni Kuala Lumpur di sini, Ahad.

Turut hadir Datuk Bandar Datuk Seri Ahmad Phesal Talib dan Ketua Pengarah DBKL Datuk Mohd Amin Nordin Abdul Aziz.

Pengumuman kenaikan cukai itu yang sepatutnya berkuat kuasa 1 Jan lalu mendapat bantahan pelbagai pihak dan sehubungan itu DBKL bertindak menangguhkan kenaikan tersebut dengan memberi tempoh bantahan sehingga 31 Mac ini.

Proses penilaian semula nilai cukai taksiran itu akan dibuat oleh lapan panel yang dilantik selepas tamat sesi bantahan.

BERNAMA 

No comments:

Post a Comment