Sunday 2 March 2014

Di sebalik nasi lemak telanjang

*ADA yang tidak berapa sedap tentang syarikat penerbangan kita, MAS. Seorang penumpang kesal sebab makanan yang dihidangkan dalam pesawat amat tidak memuaskan, malah memalukan.

Dalam penerbangan dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur baru-baru ini dia telah diberi set nasi putih lauk ikan asam pedas dan sayur. Malang sekali awal-awal telah diberitahu bahawa ikan tidak ada.

Apa ertinya asam pedas jika tidak ada ikan?

Katanya, sudahlah tidak ada ikan, nasi yang dihidangkan ‘lembik’ dan sayur yang cukup menyedihkan, apatah lagi tanpa hidangan pencuci mulut. Betul-betul tidak menepati piawaian makanan asli Malaysia.

Penumpang tersebut ialah Chef Zam, atau Zamzani Abdul Wahab, orang yang memang pakar mengenai masakan tradisional Melayu. Katanya menerusi Instagramnya yang disiarkan akhbar, hidangan seperti itu sepatutnya tidak dihidangkan dalam syarikat penerbangan negara.

Katanya: “Kerajaan membelanjakan jutaan ringgit untuk mempromosikan Malaysia sebagai ‘syurga makanan’, namun pengalaman pertama mereka menjamah makanan Malaysia tidak mencerminkan apa yang sepatutnya.”

Mengapa asam pedas tidak ada ikan? Tak kan orang MAS tidak tahu mengenai ikan masak asam pedas? Sepatutnya kalau tidak ada ikan, tukar sahaja kepada hidangan lain yang menepati ciri-ciri Malaysia.

*APA yang dialami oleh Chef Zam itu terjadi juga kepada seorang lagi tukang masak tersohor kita, Chef Wan, kira-kira sebulan lalu.

Seperti yang dilaporkan media Chef Wan atau Datuk Redzuwan Ismail terharu kerana nasi lemak yang dihidangkan kepadanya semasa penerbangan kelas ekonomi ke Bangkok dalam keadaan ‘telanjang’.

Makanan kegemaran ramai itu bagaikan telanjang kerana tidak disertakan ikan bilis, kacang goreng dan timun. Kata Chef Wan apa yang dihidangkan itu tidak mewakili nasi lemak dan pilihan lauk yang sebenarnya.

Selepas nasi lemak telanjang, kini timbul pula kes ikan masak asam pedas tetapi tidak berikan. MAS sebagai duta negara patut sekali mengambil berat teguran ikhlas daripada dua chef terkenal itu.

*SEBAGAI penumpang yang membayar tambang – lebih mahal dari penerbangan tambang murah – hidangan sepatutnya berbaloi dengan apa yang dibayar, bukan ‘cincai’ dan setakat melepas batok di tangga.

Tambahan pula beratus juta RM telah diberi kepada syarikat yang menjadi penyaji dan pembekalan makanan dalam MAS. Malah pernah dibangkitkan di dalam parlimen bahawa nasi lemak dalam pesawat berkali-kali ganda lebih mahal dari yang dibeli di luar.

Penumpang tidak kisah membayar tambang lebih mahal, asalkan berbaloi dengan perkhidmatan dan makanan yang dihidangkan. MAS patut sekali berunding dengan syarikat penyaji, untuk memastikan hidangan menepati piawaian.

Jangan biarkan perkhidmatan MAS yang mendapat pujian antarabangsa, dicemari dengan hidangan ‘telanjang’ yang memalukan.

*KETIKA masih panas isu nasi lemak telanjang dan asam pedas tanpa ikan, berita yang lebih tidak sedap didengar ialah syarikat penerbangan negara itu terus dilanda kerugian mega, setiap tahun.

Seperti yang dilaporkan MAS mencatat kerugian RM1.174 bilion sepanjang tahun lalu, iaitu hampir tiga kali ganda lebih tinggi berbanding kerugian RM433 juta yang dicatatkannya pada 2012.



Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali mahu kerugian MAS disiasat dengan menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk mengenal pasti punca kerugian, sekali gus memberi cadangan yang wajar untuk kerajaan laksanakan.

Menurutnya lagi jawatankuasa itu perlu dianggotai tokoh berwibawa dalam bidang profesional dan kewangan selain wakil Kesatuan Kakitangan MAS (MASEU) dan bekas ketua pengarah eksekutifnya sebelum ini.

Sebenarnya setiap kali rugi besar, ada macam-macam cadangan dan bedah siasat dilakukan untuk memperbaiki prestasi MAS. Pegawai ditukar, kaedah baharu diperkenal, macam-macam teori dan falsafah. Tetapi, MAS tetap rugi...

*AKHIR kalam, setelah enam tahun ‘ding-dong-ding-dong’, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Selangor menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk penstrukturan semula industri air di negeri itu.

Sekiranya sejak awal telah dicapai persetujuan, projek Loji Rawatan Air Langat 2 mungkin sudah siap sekarang. Tetapi oleh sebab alasan-alasan politik, semuanya tertangguh sehingga kita hampir kekeringan sekarang. Gajah sama gajah berjuang, pelanduk lemas di tengah-tengah!

- TOK PERAK @Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment