Friday 7 March 2014

Simpang tiga jadi laluan maut

Simpang tiga jadi laluan maut
Keadaan simpang tiga Kayu Ara Pasong yang berbahaya memerlukan lampu isyarat.


PONTIAN - Simpang tiga Kayu Ara Pasong berhampiran Taman Desa Seri Ara menjadi zon berbahaya kerana kemalangan kerap berlaku di situ terutama pada waktu puncak di sebelah pagi dan petang.

Tinjauan Sinar Harian ke lokasi mendapati, kawasan tersebut tidak mempunyai lampu isyarat sehingga menyukarkan kenderaan bergerak ketika keluar masuk simpang terbabit.

Penduduk, Mohammad Salleh berkata, ketiadaan lampu isyarat membahayakan penduduk dan pengguna jalan raya.

Katanya, pihak berkuasa perlu memasang segera lampu isyarat bagi mengelakkan kemalangan.

“Penunggang motosikal sering kali terlibat dalam kemalangan di simpang tiga ini, sehingga ada yang membawa kematian.

“Sikap pemandu yang tidak berhati-hati di laluan keluar masuk simpang tiga ini menjadi faktor kemalangan sering berlaku ,”katanya.

Selain itu, keadaan jalan yang lurus menyebabkan pemandu sering memandu kenderaan dengan laju sehingga sukar melihat kenderaan lain yang keluar masuk simpang terbabit.

“Laluan simpang tiga ini yang terletak berhampiran dengan sebuah stesen minyak dan kilang akan bertukar menjadi sibuk pada sebelah petang dan pagi," katanya.

Sementara itu Pengerusi jawatankuasa penduduk, Lim Ah Heng berkata, masalah simpang tiga merbahaya tersebut sudah diajukan kepada pihak berkaitan untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, langkah segera perlu diambil bagi mengelakkan kemalangan jalan raya terus berlaku.

“Pihak berkuasa juga perlu memperbanyakkan pemasangan papan tanda keselamatan jalan raya bagi mengelakkan pengguna keliru dan memudahkan mereka keluar masuk simpang terbabit.

“Sekiranya lampu isyarat tidak dapat dipasang, jawatankuasa penduduk mencadangkan agar hanya satu laluan sahaja dibuka dari arah Kayu Ara Pasong menghala ke laluan Benut.

“Pemandu boleh buat pusingan U di Pontian Besar yang lebih selamat dan tidak berisiko,” katanya.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment