Friday 7 March 2014

Hina polis: Keterangan Dr Afif diambil

Dr Afif
Dr Afif

GEORGETOWN - Polis telah mengambil keterangan daripada anggota exco kerajaan negeri Pulau Pinang Dr Afif Bahardin berhubung kenyataannya melalui akaun Twitter miliknya pada 4 Mac lepas yang didakwa menghina pasukan polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata pegawai penyiasat kes itu telah merakam keterangan Dr Afif di pejabatnya di Komtar kira-kira 10 pagi tadi.

"Selain merakamkan keterangan Dr Afif, polis turut mengambil telefon bimbit milik beliau yang dipercayai digunakan untuk memuat naik status berkenaan bagi menjalankan siasatan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata setakat ini, pihaknya telah menerima tiga laporan polis dan turut merakam keterangan daripada tiga orang berhubung kenyataan Dr Afif menerusi Twitternya itu.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948, katanya.

Dr Afif yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri dan anggota Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya dalam tweetnya menyatakan: "Penjenayah bunuh polis itu tidak menghairankan, tetapi bila polis yang sepatutnya menegakkan undang-undang membunuh tahanan, itu masalah." - Bernama

No comments:

Post a Comment