Friday 7 March 2014

Catuan air peringkat ketiga bermula Isnin ini

CYBERJAYA - Catuan bekalan air peringkat ketiga di Lembah Klang akan bermula Isnin ini sehingga 31 Mac melibatkan 577 kawasan di Gombak, Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Datuk Teo Yen Hua berkata catuan peringkat itu akan melibatkan tambahan 290,865 pintu rumah di kesemua kawasan itu.

"Pertambahan ini menjadikan jumlah keseluruhan 722,032 pintu rumah atau anggaran 3.6 juta penduduk," katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Beliau berkata pelan itu juga menggantikan keseluruhan pelan catuan peringkat kedua yang dikeluarkan pada 28 Feb lepas.

"Namun, pelan catuan peringkat pertama yang melibatkan Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang ekoran penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Cheras Batu 11 dan LRA Bukit Tampoi disebabkan pencemaran ammonia yang tinggi dalam Sungai Langat, akan diteruskan," katanya.

Teo berkata catuan peringkat ketiga itu berikutan tujuh empangan di Selangor yang terus menyusut iaitu Sungai Selangor, Sungai Tinggi, Sungai Semenyih, Sungai Langat, Klang Gates, Tasik Subang dan Sungai Batu.

"Paras empangan Sungai Selangor pada Jumaat lepas ialah 196.35m dan paras hari ini ialah 194.10m, yang menurun 2.25m dalam tempoh seminggu.

"Dari segi peratus simpanan aktif, peratus simpanan hari ini ialah 43.24 peratus berbanding 46.90 peratus minggu lepas yang menurun 3.66 peratus. Ini adalah pengurangan yang tinggi," katanya.

Beliau berkata Empangan Sungai Selangor dan Sungai Tinggi menyalurkan sumber air mentah kepada lima loji rawatan air yang membekalkan 61 peratus daripada keperluan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) empangan itu, kerajaan negeri Selangor memutuskan pelepasan air daripada empangan dikurangkan 500 JLH (Juta Liter Sehari) dengan seberapa segera, katanya.

"Pengurangan ini akan menjejaskan pengeluaran LRA Sungai Selangor Fasa 1, LRA Sungai Selangor Fasa 2, LRA Sungai Selangor Fasa 3, LRA Rasa dan LRA Rantau Panjang," katanya.

Justeru itu, semua kawasan agihan yang menerima bekalan daripada kelima-lima loji itu akan turut mengalami pengurangan bekalan air.

"Penggunaan lori tangki juga akan diminimumkan kecuali benar-benar perlu untuk menghantar air ke kawasan yang masih tidak menerimanya dalam tempoh dua hari ataupun ke premis dan upacara kritikal seperti pusat dialysis, hospital, upacara kematian atau kenduri," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment