Sunday 2 February 2014

Tiga lelaki pecah masuk pejabat akhbar

KUALA LUMPUR - Polis giat memburu tiga suspek yang memecah pejabat sebuah akhbar harian Tamil di Jalan Ipoh di sini, Rabu lepas, kata Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad.

Beliau berkata polis memburu suspek lelaki berkenaan berdasarkan maklumat kakitangan pejabat akhbar 'Tamil Malar' yang bertugas pada hari kejadian.

"Hasil siasatan mendapati pejabat itu tidak memasang alat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan tiada pengawal keselamatan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 11 pagi itu, tiga lelaki bersenjatakan parang dan batang besi memecah pintu kaca, meja kaca dan lima komputer di tingkat bahagian pengurusan pejabat.

Suspek yang bertopi keledar penuh turut merampas dua telefon bimbit dan wang tunai RM200 daripada kakitangan pejabat berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Urusan akhbar itu, S.M. Periasamy yang dihubungi hari ini mendakwa suspek juga mengancam supaya akhbar itu menghentikan penulisan artikel mengenai seorang pemimpin kerohanian 'Datuk Seri Guruji'.

Beliau berkata pada Disember lepas, mereka telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi selepas beberapa lelaki menyerbu masuk pejabat itu dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap kakitangannya.

Berikutan dua insiden tersebut, Periasamy meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan tegas bagi mengelak kejadian seperti itu berulang.

Sebagai langkah keselamatan, kami akan memasang CCTV di pejabat dalam masa terdekat, katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment