Sunday 2 February 2014

Isu video: Empat NGO lapor polis

KUALA LUMPUR - Empat badan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan polis meminta tindakan diambil terhadap seorang wakil rakyat kerana menghina Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan.

Laporan dibuat terhadap Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang didakwa terbabit dalam pembikinan klip video bertajuk 'Onederful Malaysia' sempena Tahun Baharu Cina itu, dimuat turun dan tersebar meluas dalam laman YouTube sejak lima hari lepas.

NGO terbabit adalah Persatuan Aduan Rakyat, Persatuan Inspirasi Melayu Gombak (Impak), Persatuan Pemilik-Pemilik Telefon Bimbit Malaysia (Perbit) dan Gabungan NGO Daerah Gombak.

Pengerusi Persatuan Aduan Rakyat yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T. Murugiah berkata laporan itu meminta polis bertindak terhadap pihak yang terbabit dalam mengarah dan menerbit klip video yang disifatkan boleh menggugat perpaduan kaum.

"Klip yang tersebar luas ini telah mengutuk Perdana Menteri, isterinya dan mengkritik kerajaan. Malahan klip ini mampu mencetuskan masalah perkauman dengan melaga-lagakan kaum di negara ini.

Kami meminta polis menyiasat dengan segera.

"Kami juga berharap Teresa Kok meminta maaf dan menarik balik klip video itu," katanya selepas membuat laporan polis kira-kira pukul 1.30 tengah hari di Balai Polis Gombak hari ini.

Sementara itu, Timbalan Presiden Impak, Muhammad Naguib Kaharuddin meminta Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat secara menyeluruh berhubung klip video terbabit.

Klip video berdurasi 11 minit 39 saat itu memaparkan empat individu termasuk Teresa sedang berbual dan membincangkan pelbagai isu berkaitan kaum dan negara. - Bernama

No comments:

Post a Comment