Sunday 2 February 2014

Lima askar wataniah nyaris lemas

KANOWIT - Lima anggota askar wataniah nyaris lemas selepas perahu panjang yang mereka naiki terbalik dipukul ombak di Sungai Rajang berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Sedaya, hari ini.

Ketika kejadian, difahamkan kesemua mangsa baru selesai menjalani latihan ketenteraan dan dalam perjalanan pulang ke rumah panjang masing-masing di seberang sungai itu.

Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Kanowit Mohamad Bujang berkata perahu mereka dinaiki air dan sebelum terbalik menyebabkan kelima-lima lelaki berbangsa Iban itu terjatuh serta cuba berpaut pada perahu berkenaan sebelum berenang ke tebing sungai.

"Bagaimanapun ketika mereka sedang berenang, ombak semakin besar dan kebetulan beberapa penduduk rumah panjang di seberang sungai yang melihat kejadian itu segera menghulurkan bantuan.

"Penduduk kampung yang menaiki sebuah bot menyelamatkan kesemua mangsa dan membawa mereka ke Jeti Persinggahan Ekspres," katanya ketika dihubungi hari ini 

Beliau berkata tiga mangsa berada dalam keadaan stabil manakala dua lagi lemah dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kanowit. - Bernama

No comments:

Post a Comment