Sunday 2 February 2014

Teresa Kok: Ia hanya satu video jenaka sindiran


KUALA LUMPUR: “Ia hanyalah satu video sindiran,” kata Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok apabila diminta memberi komen berhubung video Tahun Baru Cina bertajuk “Teresa Kok "Onederful" Malaysia CNY 2014”.

Dalam satu temubual menerusi telefon bersama Astro AWANI pada Sabtu, Ahli Parlimen Seputeh itu berkata demikian bagi menjawab kenyataan yang dibuat oleh Ketua Bahagian Pemuda UMNO, Muhammad Rafii.

“Kami hanya mahukan Tahun Baru Cina yang menyeronokan. Setiap tahun saya akan membuat video bersifat sindiran yang menarik dan menyeronokan.

“Penonton saya kebanyakannya adalah kaum Cina dan ini hanya untuk Tahun Baru Cina. Anda dapat melihat banyak program feng shui mula dipaparkan untuk Tahun Baru Cina. Ianya berdasarkan perkara ini dan hanyalah satu gurauan, sindiran politik, saya tidak melihat ia satu perkara yang salah,” Teresa tertawa.

Beliau menambah, video klip tersebut menggunakan bahasa Mandarin dan Kantonis, dan sesiapa yang tidak faham kedua-dua bahasa ini tidak akan memahami jenaka tersebut.

“Ia bertujuan untuk membuat orang ramai ketawa,” katanya.

Sementara itu, dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Rafii pada Sabtu, beliau berkata video tersebut telah menghina Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Mengulas kenyataan ini, Teresa berkata dakwaan ini adalah tidak benar.

“Apa-apa andaian mengatakan mereka yang dipotretkan dalam video itu berkaitan dengan mana-mana ahli politik, adalah berdasarkan imaginasi mereka sahaja,” beliau berkata.

Teresa berkeras bahawa beliau tidak akan menarik video tersebut dan ia telahpun mendapat kongsian serta ditonton di platform media sosial.

Video berdurasi 12 minit itu yang diterbitkan oleh akaun Youtube DAP Seputeh telah mendapat lebih 40,000 tontonan.

Video tersebut juga dikongsi pada akaun Facebook Teresa Kok, dimana ketika ini ia telah mendapat kira-kira 1375 ‘Likes’ dan 38 ‘Shares’.

Video tersebut menggambarkan Teresa sebagai hos Feng Shui yang sedang menemubual 3 ahli panel mengenai Tahun Baru Cina dan ramalan feng shui mereka.

Tiga ahli panel dalam video itu membuat jenaka mengenai beberapa isu seperti kos sara hidup di Malaysia serta sistem pendidikan semasa, dan lain-lain lagi. - Astro Awani 

No comments:

Post a Comment