Sunday 2 February 2014

Pemergian mendiang Choon Wah tiada galang ganti - Rakan

Datuk Santokh Singh (baju merah) bersama sebahagian daripada bekas-bekas pemain bola sepak negara memberi penghormatan terakhir kepada lagenda bola sepak negara era 70-an, mendiang Wong Choon Wah - Foto Bernama


KUALA LUMPUR: Pemergian bekas pemain bola sepak negara era 70-an, Wong Choon Wah disifatkan sebagai satu kehilangan yang tidak galang ganti, demikian menurut beberapa rakan sepasukan mendiang.

Menurut rakan seangkatan dengan mendiang dalam pasukan Selangor, Datuk Khaidir Buyong, kelincahan mendiang sentiasa digeruni pihak lawan serta membantu pasukan negeri menjuarai Piala Malaysia sebanyak lima kali - 1968, 1969, 1971, 1975 dan 1976.

"Mendiang merupakan pemain tengah terbaik yang negara pernah lahirkan. Kreatif melorongkan hantaran bola cantiknya boleh memperdayakan benteng pertahanan lawan.

"Mendiang merupakan seorang yang berdedikasi di atas padang dan sehingga ini belum ada pemain setanding mendiang," kata Khaidir ketika ditemui pemberita selepas memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang di rumah urus mayat Kwong Tong, Sungai Besi, di sini, malam Sabtu.

Wong, 67, meninggal dunia awal pagi Jumaat ketika mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan sakit jantung.

Khaidir berkata mendiang merupakan seorang individu yang gemar berbicara mengenai sukan bola sepak negara bersama bekas rakan sepasukan selain turut sentiasa mengikuti perkembangan semasa skuad bola sepak kebangsaan.

Berkongsi pandangan yang sama ialah bekas pemain Selangor, K. Gunalan yang menyifatkan mendiang merupakan seorang guru yang banyak memberikan tunjuk ajar kepadanya meskipun tidak pernah beraksi bersama.

"Beliau (mendiang) merupakan seorang yang peramah dan sering memberikan tunjuk ajar terutamanya ketika bertindak selaku pengurus dan jurulatih (untuk pasukan Selangor) sewaktu Kejohanan Piala Sultan Selangor sepanjang 12 tahun yang lepas.

"Saya berasa terharu dengan pemergian seorang lagenda (bola sepak) yang banyak berbakti kepada negara," katanya yang menjadi nadi utama pasukan Selangor sebagai gergasi bola sepak tempatan pada era 90-an.

Bekas pemain hoki negara era 70-an, K. Balasingam pula berkata, keakraban antara mereka mula terjalin ketika bersama mewakili negara pada Sukan Asia 1974 di Tehran, Iran yang menyaksikan pasukan hoki dan bola sepak masing-masing meraih pingat gangsa.

"Kedua-dua pemain pasukan (bola sepak dan hoki) ketika itu amat rapat dan kami sering mengikuti perkembangan semasa antara satu sama lain namun kenangan paling manis ialah ketika kedua-dua pasukan meraih pingat gangsa.

"Saya turut mengenali beberapa pemain bola sepak yang lain seperti (Datuk) Santokh Singh dan (Datuk) Soh Chin Aun...Apa yang saya boleh katakan, mereka merupakan antara pemain terbaik negara ketika itu (era 70-an)," katanya.

Dalam pada itu, anak sulung mendiang, Julia Wong Fai Mei, 36, berkata mendiang bapanya merupakan seorang individu yang sangat berminat dengan sukan bola sepak sejak kecil lagi.

"Beliau sentiasa menyebut tentang bola dari kecil sampai sekarang selain turut berharap (prestasi) skuad bola sepak (negara) boleh kembali semula pada era 70-an," katanya yang bekerja sebagai ejen insurans.

Mendiang Wong meninggalkan balu, Lee Nyok Ching 63, serta dua lagi anak perempuan iaitu Samantha Wong Fai Lai, 36 dan Jazz Wong Fai Siang, 32.

Mayat mendiang dijangka dibakar di Krematorium Cheras, Jalan Kuari, dekat sini, Isnin ini.


- BERNAMA

No comments:

Post a Comment