Friday 10 January 2014

Volkswagen sasar jualan di Malaysia berganda kepada 23,000 unit

Volkswagen

KUALA LUMPUR - Volkswagen (VW) AG menyasar untuk menggandakan jualan kereta di Malaysia kepada 23,000 unit tahun ini dengan meningkatkan pengeluaran dengan rakan kongsi, DRB-Hicom Bhd.

Kilang DRB-Hicom di Pekan, Pahang, yang mula mengeluarkan Passat VW pada awal 2012 dan Polo sejak Oktober 2013, bersedia untuk melancarkan model Jetta pada separuh pertama tahun ini, kata Soh Weiming, Presiden Operasi Komersial VW bagi Greater China/Asean.

Tujuh puluh peratus daripada kereta untuk dijual tahun ini dijangka dihasilkan dari kilang Pekan berkenaan, kata Soh kepada pemberita hari ini.

"Sekiranya kami boleh mencapai sasaran jualan tahun ini, ini menunjukkan keyakinan besar pengguna terhadap jenama kami," katanya.

Dalam jangka panjang, VW merancang untuk menjual lebih 50,000 kereta setahun di Malaysia, yang mempunyai saiz pasaran sebanyak 550,000 unit setiap tahun, kata Soh.

VW, pembuat kereta terbesar di Eropah, mempunyai matlamat untuk mengatasi Toyota Motor Corp dan General Motors Co untuk menjadi pengeluar kenderaan terbesar di dunia menjelang 2018.

Syarikat mahu memanfaatkan permintaan Asean bagi pertumbuhan secara keseluruhan.

Soh berkata VW tidak mempunyai rancangan untuk menubuhkan kemudahan pengeluaran berskala penuh dalam Asean tetapi sebaliknya akan memasangnya dalam negara.

Selain kilang pemasangan di sini dengan DRB-Hicom, pembuat kereta itu mempunyai merancang untuk mengadakan barisan pemasangan di Thailand dan Indonesia, demikian menurut sumber yang rapat dengan syarikat. - Bernama

No comments:

Post a Comment