Friday 10 January 2014

Pemilik Facebook jangan ikut hati

Facebook

KUALA TERENGGANU – Pemilik akaun Facebook dan blogger diingatkan memanfaatkan penggunaan kedua-dua medium tersebut ke arah kebaikan dan bukannya memfitnah pihak lain.

Ketua Pemuda MCA Bahagian Kuala Terengganu, Chua Gor Thong berkata, perbuatan itu jika dibuat tanpa bukti dan dakwaan yang benar, sudah tentu memberi kesan besar termasuk menganiaya pihak lain.

Mengulas mengenai isu MCA Terengganu sebelum ini yang pernah dibangkitkan dalam Facebook apabila Pengerusi MCA Terengganu, Datuk Toh Chin Yaw dipersoalkan pihak tertentu seolah-olah menyeleweng peruntukan Dana Bakti Remaja, beliau menjelaskan, ia boleh menjatuhkan imej pemimpin tersebut dan MCA secara umumnya.

“Jangan guna internet untuk buat tuduhan dan fitnah yang tidak bertanggungjawab, kerana ada pihak tertentu yang mudah percaya dengan khabar yang dibangkitkan melalui Facebook dan sebagainya.

“Sebagai pengguna, kita perlulah matang dalam mengendalikan laman tersebut supaya tidak mendatangkan kesusahan kepada pihak lain,” katanya.

Jelasnya, tidak kira isu yang ditimbulkan berkait politik atau sebaliknya, pengguna perlu berfikir dua kali sebelum mengeluarkan sesuatu perkara atau pendapat.

Sementara itu, mengulas mengenai sokongan golongan muda terhadap MCA, beliau menjelaskan masih ramai yang menyokong parti itu.

Walaupun kerusi diperuntukkan BN kepada MCA mengalami kekalahan besar dalam PRU13 lalu, Gor Thong yang juga Setiausaha Pemuda MCA Negeri yakin dengan kemampuan parti itu dalam mengembalikan semula kepercayaan anak-anak muda khususnya golongan Cina kepada MCA.

Exco Pemuda MCA Pusat itu juga mengharapkan perubahan dalam kepimpinan baharu MCA untuk mengukuhkan kembali keyakinan pengundi muda.

“Kita yakin akan ada perubahan memandangkan perubahan kepimpinan masih baru jadi tidak nampak lagi. Di peringkat Kuala Terengganu dan negeri, kita belum bincang sepenuhnya lagi dari sudut perancangan, program untuk golongan muda di negeri ini,” katanya.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment