Friday 10 January 2014

Pegawai Wisma Putra didakwa kemuka tuntutan palsu

Pegawai Wisma Putra didakwa kemuka tuntutan palsu
Tertuduh, Mohd Hadtamizi Abu Bakar (kanan) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan memperdaya Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat yang membabitkan wang berjumlah USD126, 681 tiga tahun lepas di Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, hari ini.
 - Foto Bernama


KUALA LUMPUR - Dua pegawai Wisma Putra (Kementerian Luar) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan memperdaya Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat kerana mengemukakan penyata perbelanjaan palsu berjumlah US$126,681 tiga tahun lepas.

Shahril Effendi Abd Ghany, 48, dan Mohd Hadtamizi Abu Bakar, 47, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rosbiahanin Arifin.

Shahril Effendi yang ketika itu berkhidmat sebagai timbalan ketua perwakilan Kedutaan Besar Malaysia di Washington DC didakwa mengemukakan dokumen palsu iaitu penyata perbelanjaan wang pendahuluan sempena Sidang Kemuncak APEC 2011 di Honolulu, Hawaii dari 3 hingga 16 Nov 2011 dan resit rasmi Aloha Way Transportation bertarikh 3 Nov 2011, berjumlah US$126,681.

Tertuduh didakwa telah mengesah dan mengaku membayar US$126,681 sebagai deposit sewaan kenderaan kepada Syarikat Aloha Way Transportation semasa persidangan itu, sedangkan jumlah sebenar yang dibayar adalah US$88,500.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Kedutaan Besar Malaysia, 3516 International Court N.W, Washington DC, Amerika, pada 8 Dis 2011.

Mohd Hadtamizi, yang ketika itu berkhidmat sebagai penolong pegawai tadbir di Washington DC, didakwa bersubahat dengan Shahril Effendi melakukan kesalahan sama di lokasi dan tarikh yang sama.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai butir matan palsu atau RM10,000 atau mengikut mana yang lebih tinggi.

Rosbiahanin membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan mereka menyerahkan pasport kepada mahkamah serta menetapkan 10 Feb untuk sebutan semula kes.

Shahril Effendi yang kini bertugas selaku pegawai tadbir diplomatik di Wisma Putra dan Mohd Hadtamizi yang kini bertugas sebagai penolong pegawai tadbir, di tempat sama, membayar ikat jamin itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah manakala Shahril Effendi diwakili peguam Shamsul Sulaiman dan Mohd Hadtamizi diwakili peguam Ridha Abdah Subri.

Di mahkamah sama, seorang peneroka hutan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menawarkan rasuah wang tunai RM20,000 kepada Penolong Pegawai Tanah, Pejabat Daerah dan Tanah Cameron  Highlands, Pahang.

Tan Meng Lee, 43, didakwa menawarkan rasuah itu kepada Abdul Rahim Sulaiman, 50, supaya tidak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atasnya (tertuduh) yang melakukan penerokaan secara haram di Hutan Simpan Sungai Terla, Kampung Raja dan tanah kerajaan di Blue Valley, kedua-duanya terletak di Mukim Ulu Telom, Cameron Highlands.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tanah kerajaan di Blue Valley, Mukim Ulu Telom, Cameron Highlands antara 4 petang dan 5 petang, 7 Okt 2013.

Dia didakwa mengikut Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Rosbiahanin membenarkan Tan diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Feb untuk sebutan semula kes. Dia membayar ikat jamin.

Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh diwakili peguam S. Devanandan. - Bernama

No comments:

Post a Comment