Friday 24 January 2014

Polis Perak tembak mati 'Geng 04'

TAIPING - Polis Perak menembak mati seorang anggota 'Geng 04', yang terlibat kes samun bersenjata kenderaan jenis Toyota Hilux di Kampar tahun lepas, dalam insiden berbalas tembakan di Lorong Berlian 2, Taman Koperasi dekat Teluk Intan, semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, dalam kejadian 5 petang itu, pasukan Ops Cantas cuba menahan kereta yang dipandu S. Sasikumar, 30, yang dilihat dalam keadaan mencurigakan di kawasan Kampung Banjar.

"Bagaimanapun, lelaki itu enggan menghentikan keretanya dan terus memecut ke arah taman perumahan sebelum kenderaan itu terbabas. Ketika polis menghampiri kereta itu, dia meluru keluar dan terus melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping hari ini.

Katanya polis mempertahankan diri dengan membalas tembakan itu yang terkena Sasikumar, menyebabkannya rebah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata polis menemui sepucuk pistol Norinco model 2139x19 daripada lelaki itu, satu kelopak berisi lapan butir peluru hidup serta sebungkus plastik berisi daun kering disyaki ganja.

Acryl Sani berkata lelaki itu mempunyai lima rekod jenayah lampau dengan dua kes dadah, tiga samun dan satu kes curi.

Menurutnya dia melakukan jenayah itu bersama-sama dua lagi rakannya, namun seorang daripada mereka ditembak mati dan seorang lagi masih dalam perbicaraan di mahkamah.

"Pada 2.30 pagi, 19 Jan lepas, polis menemui seorang suspek itu mati dalam sebuah kereta jenis Waja di Jalan Gula, Semanggol akibat ditembak dengan enam das tembakan. Kita tidak pasti mengapa suspek di tembak," katanya.

Beliau berkata kesemua suspek itu dipercayai terlibat dalam kes cubaan menyamun kenderaan jenis Toyota Hilux sehingga menembak mangsa dan anaknya yang berumur 13 tahun di sebuah rumah di Taman Sejahtera dekat Kampar pada 14 Julai lepas.

Suspek yang gagal mendapatkan kenderaan itu, kemudian melarikan diri dengan kereta Proton Perdana sebelum menyamun pula kenderaan jenis sama di Langkap, Teluk Intan.

"Polis berjaya mengesan kereta Proton Perdana yang dinaiki suspek dan mengejarnya sehingga terbabas. Seorang daripada mereka ditahan manakala dua lagi melarikan diri," katanya.

Acryl Sani berkata polis masih menyiasat kes itu termasuk mengesan individu lain yang dipercayai terlibat dalam kumpulan itu. - Bernama

No comments:

Post a Comment