Sunday 8 December 2013

Sedia 'maafkan' pengundi Cina: PKR sifatkan kenyataan Idris Haron 'angkuh'


Shamsul Iskandar Mohd Akin - Gambar Arkib


KUALA LUMPUR:  Pengerusi PKR Melaka, Shamsul Iskandar Mohd Akin hari ni menyelar kenyataan yang dibuat oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkenaan kesediaannya 'memaafkan' pengundi Cina pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu.

Menurut sebuah laporan dari portal berita Keadilan Daily, Shamsul menyifatkan kenyataan itu sebagai 'tidak jujur dan angkuh'.

Ujarnya, kata-kata Idris itu seolah-olah jelas menunjukkan beliau bersetuju bahawa masyarakat Cina wajar dipersalahkan atas kegagalan Barisan Nasional (BN) mendapatkan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Menurut Shamsul yang juga Ketua AMK PKR dan Anggota Parlimen Bukit Katil, tindakan Idris itu seperti tidak menghormati hak demokratik rakyat untuk menyokong sesiapa yang difikir sesuai bagi mewakili suara mereka di Dewan Rakyat atau DUN.

Beliau juga menyifatkan tindakan tersebut sebagai 'menempelak' masyarakat Cina yang setia mendokong BN dan menggesa Idris supaya segera memohon maaf serta menyatakan kesalahan BN yang menjadi punca kekalahan mereka, terutama sekali di Melaka.

Pada Khamis lalu, Idris dalam satu kenyataan telah menyatakan kesediaannya memaafkan masyarakat Cina sekiranya benar punca kekalahan beberapa kerusi di negeri itu pada PRU-13 lalu disebabkan oleh mereka yang tidak menyokong calon BN.

Katanya jika benar kemerosotan sokongan kepada BN boleh dituding jari kepada masyarakat Cina, beliau sedia memaafkan mereka dan ingin menganjurkan supaya bersama-sama kembali menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi pembangunan yang lebih kukuh.

Idris, bagaimanapun dalam sebuah laporan Utusan Malaysia semalam menafikan yang beliau telah menyalahkan pengundi Cina yang mengundi pembangkang dalam PRU-13.

Sebaliknya, beliau yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka menyatakan rasa kecewa dengan pengundi Cina yang tidak mengundi BN seperti dijanjikan sebelum pilihan raya itu.

ASTRO Awani

No comments:

Post a Comment