Sunday 8 December 2013

Tenaga boleh baharu revolusi tenaga elektrik Sabah

Ewon Ebin
Datuk Dr Ewon Ebin


KUDAT - Penjanaan tenaga boleh baharu menerusi penggunaan teknologi turbin angin dan solar bukan sahaja dapat merevolusikan tenaga elektrik terutamanya di Sabah tetapi boleh menjadi salah satu tenaga alternatif yang baik pada masa depan, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Ewon Ebin.

Beliau berkata Sabah mempunyai kelebihan tersendiri berikutan negeri itu kaya dengan sumber semula jadi yang berkaitan dengan penjanaan tenaga boleh diperbaharui dan ini sedikit sebanyak mampu meningkatkan pertumbuhan ekonominya.

"Kos penyelenggaraan dan operasi untuk membekalkan elektrik amat tinggi menyebabkan pihak pembekal tenaga seperti Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) berhadapan cabaran yang besar, ditambah pula harga sumber tenaga seperti minyak yang tidak menentu.

"Oleh itu, kerajaan sentiasa mengalu-alukan pihak yang berminat untuk menerokai dan mengaplikasi penggunaan tenaga hijau, sekali gus menyokong usaha ke arah pembangunan tenaga lestari yang mampan," kata beliau dalam ucaptamanya di majlis pelancaran dua Projek TechnoFund Mosti di sini hari ini.

Kedua-dua projek itu, Aplikasi Sistem Teknologi Angin untuk Penjanaan Tenaga serta Bangunan Lestari Thin-Film PV dan Penjanaan Tenaga Boleh Baharu, merupakan dua daripada tujuh projek yang diberi kepercayaan oleh Mosti kepada Sirim Bhd untuk kajian dan penyelidikan.

Secara keseluruhan, projek berkenaan mampu membekalkan tenaga elektrik masing-masing 25kw (tenaga angin) dan 9.8kw (tenaga solar).

Penjanaan tersebut dapat menyalurkan tenaga elektrik kepada sebuah resort berhampiran tapak projek di Tg Simpang Mengayau, selain membekalkan tenaga elektrik di bangunan projek itu serta disimpan dalam sistem bateri.

Ewon menyifatkan keberhasilan kajian itu boleh dikembangkan ke skala komersial yang lebih besar dan mampu menyumbang kepada pengurangan gangguan bekalan elektrik di Sabah serta memberi manfaat kepada penduduk luar bandar yang tinggal jauh dari kawasan grid.

Dalam jangka masa yang panjang, beliau berkata penjanaan tenaga boleh baharu itu akan menjadi sumber alternatif yang terbaik dan dapat mengurangkan kebergantungan kepada tenaga dari bahan bakar.

Pada masa ini, kebanyakan tenaga elektrik yang dijana oleh pusat jana kuasa menggunakan arang batu, diesel serta empangan hidro dan kaedah-kaedah itu melibatkan kos yang tinggi.

Turut hadir di majlis itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) Datuk Dr Rosli Mohamed dan Pengerusi dan Ketua Eksekutif Sirim Bhd, Dr Zainal Abidin Mohd Yusof.

TechnoFund merupakan projek yang dibiayai oleh Mosti, merangkumi 13 projek. Ia adalah di bawah Task Force Renewable Energy, satu pasukan petugas yang dibentuk atas arahan kabinet untuk mengkaji keberhasilan atau kebolehlaksanaan tahap komersial pelbagai projek tenaga boleh baharu di negara ini. -- Bernama

No comments:

Post a Comment