Sunday, 8 December 2013

Ibu minta henti spekulasi kematian anak-anaknya

Kematian 3 beradik: Puteri nak balik kampung
Jenazah Nur Izzati Husna, 12, dan adiknya, Puteri Nurul Akma, 3, dikebumikan dalam satu liang lahad bersebelahan pusara kakak mereka, Noor Syafikah Nadia, 14 di tanah perkuburan Islam Kampung Alor Semela.


ALOR SETAR - Ibu kepada tiga beradik yang dipercayai dibunuh bulan lalu meminta orang ramai agar menghentikan membuat spekulasi tentang kematian anak-anaknya seperti yang disebarkan melalui laman sosial.

Siti Aisyah Arifin, 40, berkata orang ramai tidak tahu tentang apa sebenarnya yang berlaku dan tidak wajar membuat pelbagai andaian.

"Biarlah pihak polis menjalankan siasatan mereka sehingga selesai," katanya kepada pemberita di rumahnya di Jalan Datuk Kumbar di sini hari ini.

Beliau menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan Negeri, Datuk Suraya Yaacob yang turut menyampaikan sumbangan.

Siti Aisyah berharap pihak polis dapat menangkap penjenayah terbabit dengan segera dan dikenakan hukuman setimpal.

Menceritakan kembali tentang kematian anak-anaknya, beliau berkata mereka tidak menunjukkan sebarang perangai pelik sebelum kejadian.

"Cuma malam sebelum mereka nak keluar rumah, yang sulung (Noor Syafikah Nadia Rusdi, 14,) minta kebenaran ayahnya untuk keluar. Sebelum ini kalau nak keluar, dia tak minta kebenaran pun.

"Dia juga tidak bawa telefon bimbitnya. Dia memang tidak boleh berenggang dengan telefon. Yang kecil sekali (Puteri Nurul Akma, 3,) asyik merengek mahu ikut kakak-kakaknya (termasuk seorang lagi Nur Izzati Husna, 12)," katanya.

Beliau berkata beliau akan mengikut ibu mertuanya pulang ke Besut, Terengganu dalam waktu terdekat bagi menenangkan fikirannya.

Suraya pula meminta anggota masyarakat agar prihatin dengan keadaan orang lain dan persekitaran mereka bagi mengelak tidak berlaku perkara tidak diingini.

Dalam kejadian itu, mayat Noor Syafikah Nadia ditemui di kawasan bendang di Alor Senibong pada 30 Nov manakala mayat Nur Izzati Husna dan Puteri Nurul Akma, ditemui di terusan Mada di Kampung Padang Tani, dekat Alor Semela pada 1 Disember.

Sebelum itu mereka dikatakan keluar rumah pada 29 Nov dengan menunggang motosikal kira-kira 7.30 malam. -- Bernama

No comments:

Post a Comment