Thursday 5 December 2013

Pencuri gaharu warga asing ditangkap

Pencuri gaharu ditangkap
Anggota renjer meninjau kawasan khemah yang ditemui


BUKIT MERTAJAM - Seorang lelaki warga Vietnam ditahan selepas disyaki menebang pokok gaharu di Hutan Simpan Kekal Bukit Mertajam, kelmarin.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, lelaki berusia 39 tahun itu pada mulanya cuba melarikan diri sebelum berpatah balik dan menyerang anggota penguat kuasa Renjer Jabatan Perhutanan Negeri menggunakan sejenis besi tajam dipercayai digunakan untuk mengorek kayu gaharu di situ.

Bagaimanapun, anggota penguat kuasa terbabit pantas mengelak dan berlakunya pergelutan sebelum beberapa anggota renjer lain datang memberikan bantuan.

Berdasarkan maklumat yang diterima, terdapat enam lelaki warga Vietnam yang menjalankan kegiatan menebang pokok gaharu di kawasan terbabit.

Selepas pantauan dan penyamaran sebagai pencuri kayu dijalankan selama empat hari, sepasukan empat pegawai dan anggota Pejabat Renjer Seberang Perai Utara/Seberang Perai Tengah yang diketuai Pegawai Renjer Rosli Hassan menyerbu kawasan terbabit.

Dua warga asing yang berada di lokasi terkejut dengan serbuan yang dijalankan dan seorang daripadanya berjaya meloloskan diri manakala lelaki yang bertindak menyerang anggota renjer berjaya ditahan.

Hasil soal siasat, pasukan renjer turut menemui sebuah khemah yang terletak kira-kira 50 meter dari tempat kejadian yang menjadi tempat tinggal warga asing terbabit.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri, Abdul Wahab Deraman berkata, kelengkapan dan makanan yang diperlukan ditemui dalam kedua-dua khemah terbabit.

“Beberapa pokok yang baru ditebang turut ditemui manakala gaharu yang diproses turut dirampas.

“Khemah terbabit dimusnahkan manakala segala bekalan makanan dirampas untuk mengelakkan mereka kembali ke situ memandangkan rakan suspek dapat meloloskan diri," katanya.

Difahamkan, beberapa kawasan yang dikenal pasti menjadi tumpuan kumpulan pencuri gaharu seperti Taman Botani dan Bukit Kerajaan serta Bukit Panchor, Nibong Tebal kini sedang dipantau dan rondaan lebih kerap akan dibuat untuk mengesan aktiviti haram tersebut.

Suspek direman enam hari oleh Mahkamah Majistret Bukit Mertajam bagi membantu siasatan.


Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment