Thursday, 5 December 2013

'Chef jangan malas'

Redzuawan Ismail
Chef Wan


TINDAKAN chef selebriti, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan 'naik angin' di laman Instagram kerana tidak berpuas hati dengan hidangan dari sebuah hotel di Kuala Lumpur, menarik perhatian ramai.

Ujar chef selebriti yang turut dikenali di seluruh dunia itu, tindakannya memuat naik gambar hidangan itu bukan untuk memalukan chef di hotel berkenaan.

Namun, kesal dengan sikap sesetengah chef yang tidak lagi mengambil berat mengenai makanan warisan negara.

"Makanan warisan tidak boleh diubah suai mengikut suka dan saya perhatikan ramai chef sekarang kurang prihatin dengan makanan warisan kita dan saya amat kesal dengan perkara itu.

"Tidak salah untuk menjadi kreatif tetapi bila saya minta laksa nyonya, maka saya harapkan laksa nyonyalah, dan bukannya mi kari dengan rempah yang pekat seperti saya terima.

"Apatah lagi ibu saya dari keturunan baba nyonya dan bila menikmati laksa nyonya, rasanya memang tidak pernah berubah sejak 150 tahun lalu dan mengapa bila saya makan di restoran itu, rasanya seperti mi kari," jelasnya.

Chef Wan berkata, dia sudah berjumpa dengan pengurus besar restoran di hotel terbabit dan pihak mereka juga sudah memohon maaf berkaitan perkara itu.

"Pada mulanya mereka kata, tidak ada sesiapa yang pernah mengadu mengenai perkara itu dan saya jawab biarlah saya jadi orang pertama yang mengadu.

"Saya tak mahu hak kita sebagai pengguna diperkotak-katikkan dan lebih malu bila orang luar makan makanan kita dan mereka menikmati makanan yang salah," katanya yang mengakui tetap membayar harga laksa nyonya itu walaupun tidak berpuas hati.

Tambahnya lagi, kebanyakan chef sekarang bersifat malas dan mudah berpuas hati dengan makanan yang dimasak oleh mereka.

"Saya kritik bukanlah kerana saya chef yang dikenali dan sudah merantau di seluruh dunia. Saya buat kerana saya tidak mahu makanan warisan kita yang menjadi tanda pengenalan di negara kita, salah dimasak.

"Chef sekarang jangan malas. Jika tidak tahu, belajar. Buat rujukan, baca buku masakan, praktikan. Macam saya, saya juga tidak terus pandai memasak, tetapi saya sentiasa belajar dan sentiasa mahu buat lebih bagus dan bagus," tegasnya.

No comments:

Post a Comment