Friday 29 November 2013

The Young Guns, iktiraf bakat muda seni tempatan


Datin Seri Tiara Jacquelina sewaktu melancarkan pameran The Young Guns.


KUALA LUMPUR:  HOM ART TRANS sememangnya bukan asing lagi dalam program-program berbentuk anugerah seni, dan anugerah terbaru anjurannya yang bergelar Young Guns merupakan salah satu usaha bersepadu yang dirangka oleh galeri tersebut demi membangun dan mempertingkatkan infrastruktur persada seni tempatan.

Diadakan setiap tiga tahun sekali, Young Guns bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada bakat-bakat muda yang sedang meningkat naik dan hanya artis-artis berusia 33 tahun ke bawah layak menyertai anugerah ini.

“Bakat-bakat yang baik perlu diraikan, dan setelah sekian lama terlibat di dalam industri ini kami sedar pentingnya pemberian anugerah kepada artis, lebih-lebih lagi dalam kalangan artis-artis muda. Anugerah sebegini memang boleh merangsang perkembangan kerjaya mereka,” jelas Bayu Utomo Radjikin, Pengarah HOM ART TRANS.

Pemilihan kumpulan pertama penerima anugerah tersebut telah dibuat dengan mengikut syarat-syarat yang ketat. Namun tiga belas orang artis ternyata lebih menonjol berbanding yang lain oleh kerana impak dari karya-karya mereka, kecekalan mereka menghasilkan karya, serta reputasi mereka di arena seni tempatan dan juga antarabangsa.

Kumpulan pertama artis yang menerima anugerah Young Guns terdiri daripada Samsuddin Wahab, Haslin Ismail, Seah Ze Lin, Najib Bamadhaj, Anisa Abdullah, Chong Ai Lei, Fadilah Karim, Akhmal Asyraf Mohd, Donald Abraham, Azam Aris, Ruzzeki Harris, Mohd Al-Khuzairie Ali, dan chi too.

Kesemua tiga belas artis ini telah menunjukkan pencapaian yang membanggakan di dalam bidang masing-masing, dan anugerah Young Guns adalah untuk mengiktiraf dan menghargai praktis seni dan semangat juang mereka.

Bayu Utomo Radjikin menyampaikan ucapan pembukaan.

“Artis-artis ini memang patut diberikan anugerah tersebut,” tegas Bayu. Beliau selanjutnya berkata artis-artis yang menerima anugerah Young Guns ini berpeluang menampilkan karya-karya mereka di dalam sebuah pameran khas yang akan diadakan di dua buah bandar besar.

“Kami telah membuat keputusan untuk mengadakan pameran pertama di White Box, MAP@Publika, kerana kami mahu pameran ini lebih mudah didatangi orang ramai. Kami sedar kepentingan strategik galeri tersebut; begitu juga dengan Whiteaways Arcade di George Town, tempat di mana pameran kedua bakal dilangsungkan,” jelas Bayu.

Pameran ini dibawa ke luar dari Kuala Lumpur sebagai suatu upaya untuk memberi lebih penonjolan serta penghargaan kepada karya-karya artis-artis yang mendapat anugerah Young Guns, dan ‘Nyala’ dipilih sebagai tema pameran pada tahun ini. ‘Nyala’ melambangkan azam berkobar-kobar pada diri artis-artis muda untuk meneruskan karier mereka, minat bernyala-nyala mereka terhadap bidang seni yang mereka ceburi, serta usaha gigih mereka untuk berjaya dan bersinar dalam dunia seni.




ASTRO Awani

No comments:

Post a Comment