Friday 29 November 2013

Ibu lega, isteri berlapang dada terima keputusan

Ibu lega, isteri berlapang dada terima keputusan
Ashokumar (kiri) memberitahu sesuatu kepada keluarga anak guamnya di luar bilik perbicaraan selepas keputusan dibuat, semalam.


ALOR SETAR - Tiada kata-kata dapat menggambarkan perasaan lega buat keluarga Lans Koperal Rosli Abu Hassan yang dibebaskan daripada hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar, semalam.

Ibunya, Chek Unea Merah, 53, berkata, dia berasa lega dan syukur kerana anak ketiganya dibebaskan oleh mahkamah atas pertuduhan membunuh rakan setugas, tahun lalu.

Menurutnya, sejak Rosli ditahan, dia sekeluarga tidak putus-putus berdoa agar anak ketiganya itu dibebaskan daripada hukuman gantung.

“Selama seminggu kami jemput orang ke rumah buat solat hajat dan baca Yasin supaya dipermudahkan dan diberikan ketabahan oleh ALLAH SWT.

“Alhamdulillah, dia (Rosli) dibebaskan juga walaupun perlu menjalani rawatan disebabkan penyakit yang dihadapi,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, isteri tertuduh, Norazlin Rahman, 28, dilihat masih bersedih dengan apa yang berlaku.

“Kami rasa lapang dada dengan keputusan mahkamah,” katanya ringkas dan tidak mahu mengulas lanjut demi menghormati keluarga si mati.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.45 petang pada 26 April 2012, Rosli yang mengalami masalah mental telah menembak rakan sepasukannya, Muhammad Sobri Md Sidek, 22, ketika sama-sama bertugas mengawal pintu masuk Istana Anak Bukit.

Sementara itu, peguam bela Rosli, P Ashokumar berkata, anak guamnya didapati mengalami masalah mental sejak enam bulan sebelum kejadian terbabit.

“Dia mengalami pelbagai gangguan perasaan dan mental seperti berasa takut, terdengar bisikan dan halusinasi,” katanya.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment