Friday 29 November 2013

MB Terengganu 'merajuk'?

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin


SHAH ALAM- Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin hari ini menasihati Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said agar tidak ‘terasa hati’ dengan keputusan awal kementerian itu dalam hak penganjuran sukan berbasikal.

Menurutnya, Ahmad Said tidak perlu khuatir mengenai keputusan awal tersebut memandangkan setakat ini pihaknya masih belum memutuskan keputusan muktamad berhubung hak penganjuran tersebut.

“Saya terkejut dengan pengumuman MB Terengganu untuk menarik tajaan RM2 juta bagi perlumbaan basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2014 serta menarik diri daripada menjadi tuan rumah bagi sebarang peringkat pada perlumbaan itu.

“...saya difahamkan pengumuman tersebut dibuat berdasarkan andaian beliau bahawa acara perlumbaan basikal jalan raya pada Sukan SEA 2017 akan diadakan di Johor dan kejohanan pelayaran Piala Monsoon juga akan dipindah dari Pulau Duyong bermula tahun depan

“Walaupun Jemaah Menteri sudah memutuskan bagi Malaysia untuk menawarkan diri sebagai tuan rumah untuk temasya tersebut pada tahun 2017, tapi Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) akan hanya membuat keputusan rasmi pada 10 Disember. Dan sebarang kenyataan mengenai lokasi atau 'venue' bagi acara-acara adalah hanya cadangan buat masa ini,” katanya dipetik di laman Facebook.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan Menteri Besar Terengganu tersebut, yang bertindak untuk menarik tajaan RM2 juta bagi perlumbaan basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2014 sekali gus menarik diri daripada menjadi tuan rumah bagi sebarang peringkat pada perlumbaan itu.

Dalam laporan media tempatan baru-baru ini, Ahmad Said melahirkan rasa kecewanya kerana tidak mendapat hak penganjuran acara ketika Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA 2017.

Ekoran itu, Terengganu mengumumkan untuk menarik tajaan RM2 juta bagi perlumbaan basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2014.

"Kita benar-benar kecewa, jadi kita akan tarik diri menjadi tuan rumah LTdL.

"Kita tak akan sediakan tajaan. Tahun lepas kita taja RM2 juta, maknanya tiada lagi penajaan sebanyak itu untuk tahun ini.
"Kita berlembut dengan orang kalau orang berlembut dengan kita, tapi kalau orang dah tak hirau, begitu juga kita," katanya.

Khairy yang juga ahli Parlimen Rembau bagaimanapun berharap agar Ahmad said akan mengkaji semula keputusan tersebut.
“Saya amat berharap bahawa Menteri Besar Terengganu akan mengkaji semula keputusan beliau semalam tentang LTdL.

“Walaupun terdapat salah faham mengenai dua perkara yang saya telah jelaskan di sini, sukan basikal tidak seharusnya dijadikan mangsa terutamanya dalam acara antarabangsa sebegini,”ujarnya.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment