Friday 29 November 2013

Latihan menyelamat kemalangan disalah anggap

Berhenti, bantu mangsa nahas
Latihan kemalangan yang disangka mangsa sebenar oleh orang awam sehingga timbulkan suasana gempar.


TAMPIN – Latihan menyelamat yang dilakukan Hospital Tampin (HT) dengan kerjasama agensi penyelamat kira-kira jam 9.30 pagi di Kilometer 2.6 Jalan Tampin-Gemas, semalam, disalah anggap pengguna jalan raya.

Malah, ramai yang sanggup memberhentikan kenderaan mereka semata-mata untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa kemalangan.

Mereka turut cemas apabila melihat 17 mangsa kemalangan, dua daripadanya maut, enam cedera parah manakala sembilan cedera ringan terbaring berlumuran darah.

Latihan kemalangan itu membabitkan enam remaja yang juga penunggang dan pembonceng motosikal dipercayai berteduh di Perhentian Bas Ulu Yoh kerana hujan telah dirempuh oleh sebuah van.

Pengarah HT, Dr Hatijah Mohd Tan berkata, latihan itu sebagai persediaan awal buat kakitangan hospital atau agensi penyelamat seperti bomba, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan polis dalam menghadapi insiden kemalangan ngeri.

“Latihan ini juga bagi meningkatkan ilmu dan kemahiran anggota dalam membantu mangsa kemalangan yang membabitkan mangsa maut, cedera parah dan cedera ringan,” katanya, dekat sini, semalam.

Berikutan insiden kemalangan ngeri berkenaan, kakitangan HT dan klinik kesihatan terdekat, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Tampin, anggota JPAM dan polis dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Anggota bomba terpaksa mengambil masa 5 hingga 10 minit bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta dan van," katanya.


Sinar Harian

No comments:

Post a Comment