Wednesday 16 October 2013

Punca harga rumah naik ialah pembeli asing

Shaun Di Gregorio
Shaun Di Gregorio


RAKYAT Malaysia berpendapat bahawa pembeli hartanah dan pelabur asing adalah penyumbang kepada kenaikan harga hartanah di Malaysia, menurut satu kajian portal hartanah negara, iProperty.com.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Iproperty, Shaun Di Gregorio berkata, Malaysia sangat liberal dari segi pemilikan hartanah oleh rakyat asing berbanding negara jiran. "Harga hartanah di Malaysia agak rendah.

Dengan skim Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) menarik lebih daripada 12,000 pemohon. Maka tidak hairanlah rakyat merasakan pembeli hartanah dan pelabur asing penyebab kepada kenaikan harga hartanah di negara ini," katanya.

Menurut kajian itu, lebih 90 peratus responden menyatakan bahawa kerajaan perlu mengenakan duti setem dan cukai yang tinggi ke atas pembeli dan pelabur asing yang bercadang untuk membeli hartanah di negara ini.

Sementara itu, mengulas berhubung dengan khabar angin bahawa kemungkinan kenaikan Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) untuk membendung spekulasi, 54 peratus mahu CKHT meningkat.

CKHT meningkat tahun lalu daripada 10 peratus kepada 15 peratus bagi penjualan hartanah dalam tempoh dua tahun. Manakala, penjualan hartanah bagi tempoh dua hingga lima tahun meningkat kepada lima peratus kepada 10 peratus.

"Peningkatan CKHT ini adalah untuk membendung spekulasi dan menggalakkan orang ramai daripada membeli dan menjual rumah untuk keuntungan cepat, tetapi tidak berkesan.

"Menurut beberapa analisis pasaran, dalam tempoh dua tahun lalu sahaja, harga rumah di beberapa kawasan di Lembah Klang meningkat antara 15 peratus dan 30 peratus," katanya.

Sejak kenaikan harga bahan api, 71 peratus responden mengatakan harga akan meningkat sehingga 10 peratus.

Ketika ditanya sejauh mana mereka fikir kerajaan harus menguruskan pasaran hartanah, hampir separuh (44 peratus) menyatakan mereka mahu kerajaan mengekalkan harga hartanah pada purata berpatutan. Manakala 35 peratus mahu melihat langkah memperlahankan menurunkan kadar kenaikan harga.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment